SAFAWI RASID
SAFAWI RASID
Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Ilmu dan pengalaman yang diraih selama tiga bulan di bumi Portugal dilihat cukup berharga buat pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid.

Katanya, walaupun hanya tiga bulan bersama Portimonense SC, banyak perkara positif dikutip sekali gus meningkatkan lagi keyakinan dirinya apabila berhadapan dengan pertahanan lawan.

"Saya kat Portugal tiga bulan, tapi kat sana banyak benda yang saya belajar, sebab kalau nak ikutkan Liga Portugal adalah antara liga keenam terbaik di Eropah.

"Saya rasa tak takut dan dalam diri saya dengan pihak lawan, tetapi saya tak boleh juga terlalu yakin dan apa yang penting buat ialah kena selalu berikan persembahan terbaik," katanya kepada Arena Metro.

Sebagai rekod, Safawi menyertai Portimonense SC yang beraksi dalam Primeira Liga itu pada Oktober lalu dengan status sebagai pemain pinjaman bagi tempoh semusim.

Penyertaan pemain sayap berkaki kiri ke Portugal itu jelas menyemarakkan semangat penyokong tempatan yang tidak putus-putus memberi semangat dan sentiasa menantikan detik pemain itu beraksi di liga utama Eropah.

Bagaimanapun, hasrat peminat bola sepak negara untuk melihatnya membuat penampilan pertama di Eropah tidak kesampaian meskipun empat kali dia berada dalam senarai pemain simpanan.

Namun, kesempatan menjalani latihan bersama skuad utama dengan didedahkan corak permainan berintensiti tinggi selain dapat bermain dengan pasukan bawah 23 tahun Portimonense SC ketika menentang Sporting CP dilihat pengalaman yang mampu mematangkan Safawi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 12:31 PM