X
Bruno Fernandes menyempurnakan salah satu penalti untukManchester United. FOTO AFP
Bruno Fernandes menyempurnakan salah satu penalti untukManchester United. FOTO AFP
AFP

London: Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes menggesa bos Liverpool, Jurgen Klopp untuk berhenti merungut mengenai jumlah penalti yang diberikan kepada skuad kendalian, Ole Gunnar Solskjaer.

United diberikan 20 sepakan penalti dalam saingan Liga Perdana sejak permulaan musim lalu, manakala juara bertahan, Liverpool hanya 10.

Klopp mendedahkan jumlah tinggi diperoleh United itu selepas pasukannya dinafikan dua sepakan penalti ketika kekalahan 1-0 di Southampton.

Pengurus United, Solskjaer membalas dakwaan itu dengan mengatakan Klopp dan bos-bos pasukan Liga Perdana lain cuba mempengaruhi pengadil untuk tidak terus memberikan penalti kepada United.

Kini Fernandes kembali menimbulkan isu itu menjelang pertemuan dengan Liverpool esok dan berkata Klopp harus berhenti merungut.

"Anda sentiasa lihat apa yang orang perkatakan, tetapi saya tidak ambil peduli. Tumpuan saya bukan apa yang mereka perkatakan.

Kami mempunyai pemain yang amat pantas di barisan hadapan." kata Fernandes, yang menjaringkan 14 gol penalti untuk United.

"Anthony Martial salah seorang pemain terbaik dalam situasi satu lawan satu dalam kotak penalti, Marcus Rashford juga cukup pantas, yang mampu mencuri bola daripada pertahanan pada bila-bila masa.

"Jadi ia perkara biasa apabila mereka dijatuhkan dan kemudian mendapat sepakan penalti.

"Orang boleh bercakap apa yang mereka mahu, tetapi bagi saya dan pasukan, perkara penting ialah terus melakukan apa yang betul dan apabila diberikan penalti, sempurnakan.

"Ketika beraksi di Portugal dan apabila bermain untuk Sporting Lisbon, Benfica dan Porto sentiasa bercakap mengenai perkara seperti itu - kadang kala mereka mahu memberi tekanan kepada pengadil."

United berada di kedudukan teratas carta liga dan mendahului Liverpool dengan kelebihan tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:10 AM