WALCOTT mampu memberi ancaman sekali lagi kepada Arsenal menjelang pertemuan pusingan keempat Piala FA esok. FOTO AFP
WALCOTT mampu memberi ancaman sekali lagi kepada Arsenal menjelang pertemuan pusingan keempat Piala FA esok. FOTO AFP
Agensi

London: Mikel Arteta memberitahu Football London bahawa beliau gembira jika dapat melihat Theo Walcott beraksi cemerlang menjelang pertemuan dengan Southampton dalam saingan Piala FA esok.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu pernah bergandingan bersama Walcott ketika beraksi sebagai pemain di Stadium Emirates.

Walcott kembali ke St Mary pada pertengahan tahun lalu tatkala bekas pemain akademi The Saints itu dipinjamkan dari Everton sehingga tamat saingan musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu sudah menjaringkan dua gol musim ini dan salah satunya adalah ketika seri 1-1 bertemu Arsenal.

Pengendali Southampton, Ralph Hasenhuttl menggunakan pemain yang 47 kali beraksi bersama England itu di pelbagai posisi termasuk di bahagian serangan musim ini.

"Dia sentiasa mahu menjadi seorang penyerang. Theo suka berada dekat dengan pintu gol, sentiasa memberi ancaman dari belakang.

"Saya rasa dia menunjukkan banyak peningkatan terutama dari segi penyudah ketika di tahun terakhir bersama Arsenal dan rekod jaringannya juga ada peningkatan.

"Dia kelihatan sangat baik musim ini, sudah pasti. Dia banyak beraksi. Dia menjaringkan gol yang membuktikan bahawa dia adalah Theo Walcott ketika menentang kami." kata Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 1:51 PM