MOHD Amirul (kanan) antara yang didaftarkan sebagai pengadil FIFA. FOTO NSTP
MOHD Amirul (kanan) antara yang didaftarkan sebagai pengadil FIFA. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Siapa kata pengadil bola sepak Malaysia tidak berkualiti ataupun 'kayu' apabila seramai 19 orang pengadil tempatan dipilih dan diperkenankan oleh Panel Pengadil Antarabangsa, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk didaftarkan sebagai Pengadil FIFA bagi tahun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pencapaian cemerlang kelompok pengadil itu membuktikan bahawa pengadil tempatan juga setanding dengan pihak luar.

"FAM sentiasa mendokong aspek pembangunan pengadil dari semua peringkat kerana percaya pengadil adalah nadi kepada pembaharuan pembangunan bola sepak melalui DNA Peta Hala Tuju F:30 yang dirangka oleh FAM.

"Setiap peluang pembangunan dan ruang kerjasama akan digunakan sebaik mungkin untuk melihat pengadil-pengadil Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pengadil-pengadil tersohor dari persada dunia.

"Berpaksikan falsafah DNA F:30 itu, FAM merangka penumpuan kepada semua kategori pengadilan termasuklah futsal, bola sepak pantai dan pembangunan pengadil wanita," katanya.

Daripada 19 pengadil itu, lima orang adalah pengadil utama, sembilan orang penolong pengadil termasuk seorang wanita, tiga orang pengadil futsal dan dua orang pengadil bola sepak pantai.

Bagi kategori pengadil utama, lima individu berkenaan ialah Mohd Amirul Izwan Yaacob yang juga pengadil FIFA sejak 2012, Mohd Nazmi Nasaruddin (sejak 2016), Suhaizi Shukri (sejak 2011), Razlan Joffri Ali (sejak 2018) dan Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah (sejak 2019).

Kategori penolong pengadil dibarisi oleh Mohd Yusri Muhamad, Mohd Muazi Zainal Abidin, Mohd Shahreen Che Omar, Mohd Harif Md Akhir, Mohd Arif Shamil Abd Rasid, Mohd Zairul Khalil Tan, Mohd Farhan Abdul Aziz, Muhamad Shafiq Ahmad Said dan seorang penolong pengadil wanita, Nur Akmal Anuar.

Tiga pengadil futsal pula terdiri daripada Helday Idang, Mohd Ridzuan Rozali dan Mohd Norafendy Norhayalan manakala dua pengadil bola sepak pantai menampilkan Suhaimi Mat Hassan dan Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim.

Di samping itu, Mohd Amirul Izwan turut ditauliahkan untuk dilantik sebagai Video Match Official (VMO), manakala Mohd Yusri memperoleh tauliah sebagai penolong pengadil bagi perlawanan yang melibatkan Video Bantuan Pengadil (VAR).

"Untuk makluman, bagi seseorang pengadil itu dilantik menjadi VAR, mereka harus mengikuti kursus dan perlu ditauliahkan oleh panel VAR dari FIFA sebelum boleh dilantik menjadi VAR atau AVAR. Begitu juga dengan pengadil dan penolong pengadil bagi perlawanan yang melibatkan VAR," katanya.

Selain itu, beliau berharap kesemua pengadil terbabit dapat dapat menjalankan tugas masing-masing dengan cemerlang demi membawa nama Malaysia di persada antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:16 PM