Pemilik skuad Kelantan FC Norizam Tukiman (kiri) yakin persiapan pasukan berjalan lancar. FOTO File NSTP
Pemilik skuad Kelantan FC Norizam Tukiman (kiri) yakin persiapan pasukan berjalan lancar. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kota Bharu: Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) berhasrat mendapatkan khidmat empat pemain kebangsaan yang mempunyai nama besar bagi memperkuat pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata keempat-empat pemain yang identitinya belum didedahkan itu turut menyatakan minat untuk beraksi bersama pasukan berkenaan musim ini.

"Kami dalam peringkat perbincangan... identiti keempat-empat mereka tidak boleh didedahkan bagi menjaga kepentingan kedua-dua pihak.

"Proses rundingan beberapa perkara dilakukan terutamanya aspek gaji yang ditawarkan sebelum keputusan dilakukan daripada keempat-empat pemain terbabit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata identiti pemain itu akan diumumkan selepas proses rundingan selesai dan mencapai keputusan.

"Harap semua berjalan lancar. Sekiranya tidak berjaya mendapatkan pemain itu kami akan memberi tumpuan kepada perancangan sebelum ini bagi menggunakan sepenuhnya khidmat pemain muda yang membarisi pasukan Kelantan," katanya.

Sementara itu, Norizam berkata Kelantan FC akan menerima kehadiran tiga pemain import yang dijangka tiba di Kota Bharu pada hujung bulan ini.

"Pemain import terbabit dari England, Greece dan Sepanyol dan kami yakin ketiga-tiga pemain ini mampu membantu Kelantan FC mengharungi saingan Liga M nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 8:35 PM