THOMAS Dooley. FOTO NSTP
THOMAS Dooley. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Thomas Dooley menyifatkan pasukannya sudah 70 peratus bersedia untuk memulakan saingan Liga Super selepas membuat penilaian pemain dalam aksi persahabatan pertama mereka berdepan Terengganu FC II, kelmarin.

Melihat kepada perlawanan dalam kejohanan Shah Alam City Cup yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, Dooley merasakan aksi yang ditampilkan anak buahnya adalah lebih baik berbanding yang ditonjolkan dalam sesi latihan di mana barisan pemain berusaha keras untuk mencari keserasian antara satu sama lain.

"Saya boleh nampak pemain-pemain begitu gembira dan teruja apabila berdepan aksi persahabatan menentang TFC II memandangkan kita semua tahu bagaimana mencabarnya latihan ketika ini."

"Pada separuh masa pertama, saya berpuas hati dengan apa yang dilakukan pemain untuk kami mendahului terlebih dahulu, tetapi selepas itu, kecergasan mereka sedikit menurun pada separuh masa kedua untuk lawan kemudiannya menyamakan kedudukan."

"Cuma secara keseluruhan, saya tidak mahu terlalu melihat kepada jaringan, tetapi bagaimana mereka dapat mengawal bola dan menyerang kembali, itu yang paling penting sekarang ini."

"Jadi, saya boleh katakan dalam 70 peratus pemain-pemain sudah bersedia dan serasi, cuma lagi 30 peratus masih ada yang perlu dipertingkatkan kerana kita semua tahu macam mana singkat aksi pramusim ketika ini, dan yang penting adalah fokus sehingga ke perlawanan sebenar nanti."

Perlawanan kelmarin menyaksikan Sri Pahang FC seri 2-2 dengan TFC II menerusi jaringan yang dilakukan oleh Hafiz Ramdan dan penyerang import baharu dari Brazil, Pedro Henrique.

Seterusnya, mereka akan berdepan aksi terakhir menentang pasukan tuan rumah, UiTM FC pada malam ini bagi menentukan pasukan manakah yang berjaya merebut trofi Shah Alam City Cup.Sri Pahang FC hadir ke Shah Alam pada Sabtu lalu bagi menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh pasukan UiTM FC untuk menggantikan Perak FC yang menarik diri pada saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 2:51 PM