MUHAMMAD Shafie (kiri) ketika beraksi di Piala Razak. FOTO MHC
MUHAMMAD Shafie (kiri) ketika beraksi di Piala Razak. FOTO MHC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Setahun meninggalkan arena hoki disebabkan kekangan kerja selaku anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menjadi satu masalah buat penjaga gol, Muhammad Shafie Sahrom memberikan aksi terbaik di Piala Razak sekali gus berjaya memikat ketua jurulatih, Arul Selvaraj.

Shafie sama sekali tidak menyangka namanya berada dalam senarai 30 pemain yang akan meneruskan kem latihan pusat skuad hoki lelaki kebangsaan.

Dia yang mewakili PDRM di Piala Razak September lalu sudah bersedia untuk menunjukkan prestasi 100 peratus pada fasa seterusnya.

"Pada awalnya agak terkejut dengan pengumuman dibuat Arul Sabtu lalu dengan saya menyifatkan ramai lagi pemain lebih baik daripada saya," katanya.

Ujar Shafie, dia akan menyahut peluang diberikan ini untuk memperkemaskan lagi corak permainannya.

"Syukur kerana terpilih dalam senarai terakhir dibentangkan jurulatih. Agak terkejut kerana ramai lagi pemain yang lebih baik daripada saya ketika pemilihan.

"Apapun, saya ambil peluang ini secara positif untuk perkembangkan lagi pengalaman kerana dalam (kem) pemilihan sebelum ini, pengalaman saya itu masih kurang termasuk latihan fizikal saya," katanya.

Dia yang berpangkat konstabel mengakui kali pertama menyertai kem, berasa gugup kerana terlalu menghormati pemain senior sehingga menggigil untuk bermain pada perlawanan persahabatan pertama.

"Namun selepas itu, kami sudah menemui keserasian dengan cepat dan semakin hari, perasaan gugup itu berkurangan.

"Bagi saya, ini adalah satu cabaran yang perlu disahut. Saya memang bercita-cita untuk bermain dalam pasukan kebangsaan namun daripada sudut lain, saya perlu menguruskan masa dengan bijak untuk kerja dan latihan," katanya.

Sebelum ini, Arul mengumumkan Shafie sebagai salah seorang daripada empat penjaga gol yang akan meneruskan latihan disamping Mohammad Hairi Abdul Rahman, Andrian Andy Albert dan Muhammad Hafizuddin Othman.

"Saya tidak boleh terlalu 'menghormati' pemain senior yang lain dan saya perlu sentiasa meletakkan perkara positif dalam diri untuk mendapatkan tempat pertama," katanya ketika ditanya mengenai peluang bersaing dengan penjaga gol lebih berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 8:16 PM