NOR Iman (dua dari kiri) tetap kekal positif walaupun tanpa kejohanan antarabangsa. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
NOR Iman (dua dari kiri) tetap kekal positif walaupun tanpa kejohanan antarabangsa. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Situasi yang masih tidak menentu akibat daripada penularan wabak Covid-19 menyebabkan banyak perancangan terpaksa dibatalkan dan ada di antara altet yang langsung tidak dapat menyertai sebarang pertandingan tahun ini.

Ia turut dirasai oleh atlet taekwando negara, Ahmad Nor Iman Rakib yang tidak sempat menyertai sebarang pertandingan tahun ini dengan sasaran terdekat hanyalah temasya Sukan SEA Vietnam tahun depan.

Begitupun Nor Iman yang meraih perak di temasya Sukan SEA Filipina tetap kekal positif untuk terus memastikan dia dapat memberi yang terbaik pada setiap sesi latihan bersama jurulatih yang juga bekas atlet kebangsaan, Rusfredy Tokan Petrus.

"Susah nak cakap sekarang ini. Kami hanya teruskan latihan seperti biasa.

"Jurulatih ada memberi cadangan untuk membawa atlet dari negeri untuk datang ke MSN (Majlis Sukan Negara) bagi membolehkan kami menjalani latihan bersama untuk menilai tahap prestasi masing-masing.

"Itu cadangan daripada jurulatih sebagai persediaan untuk ke Sukan SEA jika sampai tahun depan pun masih belum ada sebarang pertandingan," katanya.

Iman antara atlet yang mempunyai potensi besar untuk menghadiahkan emas kepada negara berdasarkan pencapaian semasa.

Pada temasya yang lalu, atlet berusia 20 tahun kelahiran Kelantan itu menyumbangkan perak dalam kategori bantamweight, 63 kilogram.

Ditanya mengenai sesi latihan, Olahragawan Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik (PolySEA) itu berkata, sesi latihan tetap diteruskan seperti biasa.

"Tiada apa yang berubah dengan latihan dalam musim PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) masih tetap diteruskan macam biasa iaitu pada sesi pagi dan petang dengan latihan dibahagikan kepada dua sesi membabitkan atlet kyorugi dan poomse kerana mengikut SOP apabila setiap sesi tidak boleh melebihi 10 atlet.

"Setakat ini semua berjalan seperti biasa. Kami tidak dibenarkan keluar daripada MSN dan bagi saya ia tidak memberi sebarang masalah kerana keluarga saya berada di Kelantan.

"Alhamdulillah kehadiran kawan-kawan di MSN ini sedikit sebanyak membantu suasana yang tidak bosan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 10:14 PM