ZURAIDI mengakui prestasi atlet bergantung kepada kemahuan individu itu sendiri. FOTO NSTP
ZURAIDI mengakui prestasi atlet bergantung kepada kemahuan individu itu sendiri. FOTO NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad boling padang negara Zuraidi Puteh memuji prestasi cemerlang ditampilkan beberapa pemain muda negara pada Kejohanan Tertutup Boling Padang Campuran di Pusat Boling Padang Nasional, Bukit Kiara, yang berakhir hari ini.

Beliau berkata prestasi luar biasa dipamerkan pemain muda seperti Muhammad Idham Amin Ramlan, yang berusia 20 tahun pada kejohanan bermula 18 November lalu itu, jelas membuktikan skuad negara mempunyai barisan pelapis berbakat yang mampu menggantikan tempat pemain senior pada masa akan datang.

"Prestasi Muhammad Idham amat mengagumkan, dan ia bergantung kepada kemahuan atlet itu sendiri dalam mempertingkatkan prestasi masing-masing sewaktu pertandingan dan latihan," katanya kepada pemberita selepas berakhir kejohanan berkenaan.

"Kita sebagai jurulatih hanya menyediakan latihan yang konsisten, agar mereka dapat memperbaiki permainan dan tugas melaksana tanggungjawab di lapangan terletak kepada pemain itu sendiri," tegas Zuraidi.

Dalam pada itu, Muhammad Idham berpuas hati dengan prestasi ditampilkan pada kejohanan berkenaan memandangkan telah lama tidak menyertai kejohanan ekoran pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 9:43 PM