X
HAGY mendahului pada pusingan pertama American Express. FOTO AFP
HAGY mendahului pada pusingan pertama American Express. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Pemain Amerika Syarikat (AS), Brandon Hagy mencatatkan pencapaian terbaik dalam kariernya selepas membenam 10 birdie untuk melakukan lapan di bawah par 64 seterusnya mendahului pusingan pembukaan kejohanan American Express Jelajah PGA AS.

Dia yang menduduki ranking ke-398 dunia, memburu kejuaraan pertama Jelajah PGA selepas gagal melepasi cut pada lima daripada enam kejohanan pertama.

Hagy mengatasi pemain Korea Selatan, An Byeong Hun dengan kelebihan satu pukulan.

Sementara itu tiga pemain berkongsi tempat ketiga iaitu wakil Scotland, Martin Laird, pemain AS, Max Coma dan juara Players Championship 2017, Kim Si Woo selepas masing-masing mengumpul 66 pukulan.

"Saya bekerja keras mempersiapkan diri beberapa minggu lalu. Menumpukan put yang menghasilkan birdie dari jarak tiga hingga lima meter setiap hari. Disebabkan itulah saya mampu mencatat 10 birdie," katanya.

Hagy, 29, hanya dapat beraksi selepas pemain nombor dua dunia, Jon Rahm dari Sepanyol menarik diri dan dia menggunakan kesempatan itu dengan sebaiknya.

Hagy bermula dengan melakukan bogey, namun berjaya memperbaikinya dengan enam birdie pada sembilan lubang pertama.

Dia juga memadam kekecewaan bogey lubang ke-12 dengan menghasilkan birdie tiga kali berturut-turut bermula dari lubang ke-13.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 11:23 AM