VILELLA Martinez antara pemain yang tidak dibenarkan meninggalkan bilik hotel oleh penganjur Terbuka Australia. FOTO Agensi
VILELLA Martinez antara pemain yang tidak dibenarkan meninggalkan bilik hotel oleh penganjur Terbuka Australia. FOTO Agensi
AFP

Madrid: Persekutuan Tenis Sepanyol tidak berpuas hati dengan penganjur Terbuka Australia dengan layanan diberikan terhadap pemain mereka yang dipaksa kuarantin.

Mario Vilella Martinez dan Carlos Alcaraz adalah di antara 72 pemain menjalani kuarantin di Melbourne, selepas berkongsi penerbangan dengan penumpang yang positif Covid-19.

Mereka tidak dibenarkan meninggalkan bilik hotel menjelang aksi sulung Grand Slam tahun ini yang dijangka bermula 8 Februari.

Sesetengah pemain mengadu mengenai keadaan di hotel manakala Persekutuan Tenis Sepanyol mendakwa langkah-langkah pencegahan itu tidak dijelaskan sebelum ini.

Ia mendesak Terbuka Australia untuk cuba menyelesaikan masalah pemain tenis yang terjejas.

"Pemain diberi amaran dan diberitahu mengenai pengecualian mereka dari menyertai Terbuka Australia dan masuk ke negara berkenaan jika positif dalam salah satu daripada ujian PCR yang dilakukan.

"Namun, mereka tidak diberitahu mengenai kemungkinan akan dikurung jika dalam perjalanan dengan pesawat yang sama dengan penumpang yang positif.

"Kami memahami semua langkah berjaga-jaga dan pendekatan yang diambil untuk kebaikan kesihatan pemain, penonton, pekerja dan penduduk, tetapi kami percaya bahawa ia semestinya sesuai dengan kesihatan mental dan fizikal atlet," kata badan induk itu dalam satu kenyataan.

Mereka menambah bahawa Vilella Martinez dan Alcaraz kedua-duanya sudah menjalani beberapa ujian PCR yang menunjukkan mereka negatif namun tidak dibenarkan untuk diberi hak sama seperti pemain lain.

Pemain yang tidak berada dalam pesawat yang mempunyai pesakit Covid-19 juga dikenakan kuarantin selama 14 hari di Melbourne namun masih dibenarkan untuk berlatih lima jam setiap hari.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 12:33 PM