MCILROY sedia berikan persembahan terbaik di Terbuka Farmers Insurance esok. FOTO AFP
MCILROY sedia berikan persembahan terbaik di Terbuka Farmers Insurance esok. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Rory McIlroy akan menyertai saingan PGA Amerika Syarikat (AS) di Torrey Pines minggu ini dengan penuh keyakinan dan berharap dia mampu mempelajari sesuatu untuk Terbuka AS serta memperkemaskan permainannya menjelang kejohanan Masters.

Pemain kelahiran Ireland Utara berusia 31 tahun itu adalah peserta pilihan di Terbuka Farmers Insurance yang akan bermula awal pagi esok di lapangan sama untuk Terbuka AS Jun depan.

"Saya juga boleh melakukan persiapan awal untuk Jun kerana Terbuka AS juga diadakan di sini, ia sangat bagus sekurang-kurangnya masih segar lagi dalam ingatan saya pernah beraksi di sini," katanya.

McIlroy yang masih belum mengecapi kejuaraan sejak Kejohanan Golf Dunia Shanghai 2019, menduduki tempat ketiga minggu lalu di Abu Dhabi dalam penampilannya musim ini selepas berkongsi kedudukan kelima November lalu di Masters.

Juara empat kali kejuaraan utama itu berehat selama sembilan minggu selepas berakhir saingan Masters namun berharap dia mampu memperoleh semula momentum selepas bergelut sejak Jun sebaik saja penangguhan PGA berakhir selama tiga bulan akibat Covid-19.

"Apa yang berlaku di Augusta masih lagi segar dalam ingatan. Saya beraksi dengan baik di sana selepas beberapa bulan. Jadi sekarang saya mahu turun dan berikan aksi terbaik.

"Saya rasa seperti hendak berhenti bermain tahun lalu namun berjaya bangkit semula selepas aksi positif di Augusta dan saya mahu mengekalkan momentum itu pada permulaan tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 3:25 PM