Ahmad Shahrizal Yahaya. FOTO MSNT
Ahmad Shahrizal Yahaya. FOTO MSNT
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bakal memperkenalkan insentif baharu kepada atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu yang berpotensi menyumbang pingat emas kepada kontinjen negeri.

Cadangan skim insentif baharu itu sudah mendapat 'lampu hijau' dan kini hanya menunggu masa untuk dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya menjelaskan, pemberian insentif itu membabitkan 60 atlet yang bakal menginjak usia 23 tahun ketika penganjuran Sukma edisi ke-20 di Johor yang dijadualkan pada tahun depan.

"Cadangan itu sudah dipersetujui di peringkat dasar, kini hanya menunggu masa sebelum dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Atlet terpilih dan layak iaitu mereka yang berpotensi meraih pingat emas dan usia mereka 23 tahun pada tahun depan, MSNT cadangkan kenaikan elaun dengan jumlah minimum RM1,200.

"Insentif itu diperkenalkan bertujuan mendorong atlet supaya mereka kekal bersama pasukan masing-masing kerana sasaran kita tetap mahu mempertahankan juara keseluruhan.

"Ini kerana ada yang meluahkan hasrat mahu menarik diri daripada program persediaan Sukma di Johor bagi menumpukan kepada kerjaya dan pelajaran masing-masing.

"Pandangan dan kebajikan mereka juga perlu diperhalusi memandangkan sepatutnya mereka bersaing pada pentas Sukma tahun lalu, tapi ketidaktentuan berikutan wabak pandemik Covid-19, sukan dwitahunan itu dianjakkan pada tahun depan," katanya yang meletakkan harapan tinggi atlet mampu membantu kontinjen negeri mengekalkan kejuaraan.

Pada Sukma edisi ke-19 di Perak 2018, kontinjen Terengganu yang membariskan 555 yang diketuai Chef de Misson, Samiun Salleh muncul juara keseluruhan buat kali kelima dengan meraih 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Wilayah Persekutuan menamatkan saingan di kedudukan naib juara meraih 52 emas, 38 perak dan 50 gangsa manakala Selangor berada di tempat ketiga dengan 47 emas, 68 perak dan 67 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 7:33 PM