Franco Morbidelli
Franco Morbidelli
BERNAMA

Kuala Lumpur: Prinsipal pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Datuk Razlan Razali optimis pelumba pasukan berkenaan, Franco Morbidelli mampu mengungguli Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai pelumba kelahiran Itali berkenaan yang mempamerkan kebangkitan mendadak dengan meraih kedudukan kedua keseluruhan pada musim lalu apabila kutipan 158 mata daripada 14 perlumbaan walaupun bergelut meraih kedudukan podium dalam beberapa pusingan awal perlumbaan.

"Pada awal tahun lepas, dia (Morbidelli) tak nampak konsisten disebabkan jentera yang bermasalah dan dia mengalami kemalangan pada perlumbaan di Austria yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada prestasi dia.

"Tapi dia lebih konsisten berbanding prestasi pelumba lain dan sebab itu, beliau mampu menduduki tangga kedua (keseluruhan pada musim lepas) dan jika dia tidak berdepan masalah teknikal (pada musim ini), dia boleh jadi juara dunia," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Razlan percaya Morbidelli bakal ditawarkan kontrak menyertai pasukan pengilang seperti Ducati dan Honda pada 2022 sekiranya pelumba berkenaan muncul juara dunia MotoGP pada musim ini.

Beliau, bagaimanapun, menegaskan mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmat Morbidelli pada 2022 perlu membayar pampasan yang bersesuaian kepada Petronas Yamaha SRT memandangkan pelumba berkenaan telah menandatangani kontrak lanjutan sehingga 2022.

Morbidelli meraih kemenangan pada tiga perlumbaan iaitu Grand Prix (GP) San Marino, GP Teruel dan GP Valencia, selain turut meraih kedudukan podium pada GP Republik Czech dan GP Portugal.

Pelumba berkenaan bakal bergandingan dengan rakan senegaranya, juara dunia MotoGP tujuh kali, Valentino Rossi daripada pasukan Monster Energy Yamaha bagi saingan MotoGP musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 2:14 PM