PELAJAR dalam dilema kerana tidak mahu hampakan ibu bapa.

Saya adalah pelajar tahun dua kursus kejuruteraan. Saya tidak meminati bidang ini meskipun layak dan keputusan saya juga masih ‘terkawal.’

Selain tidak minat, saya kurang yakin dengan kerjaya dalam bidang pengajian. Keputusan untuk menyambung pengajian dibuat ibu bapa dan keluarga.

Sebagai anak, saya tidak mahu menyakiti hati kedua-dua ibu bapa dan hanya mengikut apa sahaja yang diputuskan mereka.

Saya pernah mendapatkan khidmat kaunseling kerjaya dan keputusannya, saya lebih cenderung kepada bidang sosial bukan realisitik atau kejuruteraan.

Menurut perbincangan dengan kaunselor kerjaya, data yang diperoleh itu memang menepati minat dan kecenderungan saya.

Apakah yang harus saya lakukan dalam hal ini?

Pelajar keliru

Johor

Minat adalah kecenderungan seseorang individu terhadap sesuatu hal atau perkara yang memberikan motivasi kepada individu itu untuk melakukannya.

Selain itu, minat mendorong individu untuk mengambil tindakan yang bersesuaian dan berusaha ke arah itu.

Matlamat yang jelas terbentuk menerusi minat dan disertai strategi pelan tindakan yang sesuai.

Menerusi perincian ini, maka matlamat itu akan menjadi kenyataan dengan tindakan yang sewajaranya. Meskipun minat dilihat sebagai sesuatu yang agak subjektif, namun ia boleh dipupuk menerusi faktor yang pelbagai.

Antara faktor yang boleh memupuk minat termasuk persekitaran sosial, rakan sebaya, keluarga, situasi pembelajaran dan pengaruh teknologi maklumat.

Faktor ini dipelajari secara tidak langsung tetapi meninggalkan kesan yang kuat terhadap perubahan fikiran dan tindakan serta tingkah laku seseorang individu.

Oleh itu, jika anda merasakan kurang minat terhadap kursus pengajian yang sedang anda ikuti, maka perhatikan segala faktor yang berkaitan bagi meningkatkan minat terhadap kursus itu.

Namun jika anda sudah meneliti segala faktor yang berkaitan dan berfikir bahawa minat itu sudah tidak boleh dipupuk, maka strategi lain perlu dipertimbangkan.

Bagi menjawab persoalan ini, terdapat dua pilihan utama yang perlu difikirkan secara rasional. Kedua-dua pilihan ini perlu dikaitkan dengan kesan bagi setiap pilihan.

Pilihan pertama dengan meneruskan kursus pengajian. Pilihan kedua ialah membuat pertukaran kursus pengajian atau berhenti daripada pengajian.

Setiap pilihan ini mempunyai kesan yang berbeza. Setiap kesan itu perlu diterima dan dihadapi sebaik mungkin bagi mengurangkan kesan mudarat terhadap diri.

Jika anda memilih untuk meneruskan pengajian meskipun tidak meminati bidang itu, anda perlu memikirkan risiko dan tindakan yang diperlukan.

Anda perlu mengenal pasti segala kesan seperti emosi, fizikal dan kognitif.

Kesan emosi

Bagi kesan emosi, anda perlu mempelajari cara pengurusan emosi bagi membolehkan anda mengikutinya seperti biasa dengan tujuan menamatkan pengajian itu mengikut kemampuan anda.

Oleh itu, tindakan dan usaha untuk menamatkan pengajian perlu dilakukan seperti biasa seperti menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan mengikut masa yang ditetapkan, mencatat nota dan membuat ulang kaji.

Usaha ini perlu dilakukan juga walaupun anda tidak minat. Objektif utama ialah menamatkan pengajian supaya tidak menghampakan harapan ibu bapa dan keluarga.

Anda juga tidak membuang masa dengan tindakan yang merugikan diri sendiri.

Kesan fizikal

Kesan fizikal pula bermaksud tindakan yang perlu berterusan tanpa henti. Jika terhenti, maka anda akan ketinggalan dalam pengajian dan boleh memberikan kesan negatif terhadap diri dan keluarga.

Dalam aspek ini, anda perlu menghadapi konflik dalaman iaitu paksa rela atas setiap tindakan yang dilakukan kerana tanpa minat adalah sukar untuk menyiapkan sesuatu perkara penting terutama pengajian.

Hal ini adalah cabaran buat anda, maka perlu diuruskan sebaik mungkin. Anda boleh memberikan semangat untuk diri sendiri bagi meneruskan pengajian berpandukan tujuan yang sudah dikenal pasti.

Kesan kognitif

Kesan kognitif pula memerlukan anda terus fokus dan beriltizam untuk menamatkan pengajian. Kesan ini sangat sukar diuruskan tanpa sokongan daripada persekitaran sosial yang positif.

Justeru, bantuan daripada seorang kaunselor atau tenaga pakar yang berkaitan amat diperlukan.

Usah malu untuk mendapatkan bantuan. Selain itu, persekitaran posiitif boleh dipelajari menerusi pemerhatian dan pengamatan tingkah laku orang lain.

Selain kesan ini, anda juga akan berdepan dengan isu pekerjaan setelah tamat pengajian. Anda perlu mencari pekerjaan yang bersesuaian tetapi jika anda tidak minat, konflik kerja akan wujud.

Oleh itu, anda boleh mendapatkan bantuan pakar kaunseling kerjaya bagi tujuan ini. Anda boleh menguruskan hal ini dengan mengetahui bidang pekerjaan yang diminati dan menyelaraskannya secara baik.

Seterusnya, jika anda sudah tidak menemui jalan penyelesaian bagi meningkatkan minat dalam kursus pengajian itu, maka pilihan kedua wajar dipertimbangkan.

Tukar pengajian atau berhenti

Pilihan kedua seperti membuat pertukaran pengajian atau berhenti. Pilihan ini juga mempunyai kesan yang perlu anda hadapi.

Setiap pilihan ini memerlukan tindakan yang bersesuaian dan kesannya boleh dikategorikan sebagai kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang.

Jika anda memilih untuk membuat pertukaran kursus, maka anda perlu mengetahui syarat yang dikenakan bagi pertukaran kursus.

Pastikan anda mendapat maklumat yang sahih dan tepat daripada sumber berwajib iaitu pentadbiran fakulti dan bahagian akademik di universiti.

Berdasarkan maklumat yang sahih, maka anda perlu segera membuat tindakan seperti yang diwajibkan. Proses ini mempunyai dua kemungkinan iaitu permohonan diluluskan atau tidak diluluskan.

Oleh itu, tanggungjawab sebagai pelajar masih perlu dilakukan seperti kebiasaan bagi mengelakkan anda ketinggalan dalam pembelajaran.

Sebaliknya, jika anda memilih untuk berhenti tanpa menamatkan pengajian yang tidak diminati, maka kesannya juga perlu diterima dan dihadapi dengan cara yang bersesuaian.

Antara kesan yang mungkin timbul seperti konflik dengan keluarga kerana gagal menamatkan pengajian.

Konflik ini boleh bertukar lebih serius jika membabitkan isu yang berbangkit. Namun jika anda sudah berbincang dengan pakar serta ahli keluarga, maka pastikan perbincangan itu berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh rasional.

Jika anda tidak berani memberitahu ibu bapa secara terus, maka dapatkan bantuan ahli keluarga terdekat untuk mewakili anda dalam menerangkan hasrat hati. Usah mengambil keputusan terburu-buru tanpa persiapan rapi.

Secara kesimpulannya, perkara ini perlu dibincangkan secara mendalam dengan bantuan pakar yang bertauliah secara bersemuka.

Panduan yang dikongsikan boleh menjadi panduan buat anda. Terus berdoa kehadrat Allah SWT supaya dipermudahkan urusan anda. Seterusnya anda mampu menguruskan segala konflik yang dialami secara berkesan, rasional dan bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 4:10 PM