AISHA Rosheila (kiri) bersama rakan dan ibu angkat menikmati makan malam.
Maria Uffa Zulkafeli

Kehidupan masyarakat Jepun yang sememangnya sinonim dengan penerapan nilai murni dan adab sopan tidak dapat disangkal.

Selain memilih Jepun sebagai lokasi percutian, terdapat banyak program pertukaran pelajar dan budaya yang dilaksanakan dengan matlamat mendapatkan pendedahan mengenai cara hidup masyarakat di negara berkenaan.

Di Malaysia, Universiti Malaya (UM) satu-satunya universiti yang menawarkan ijazah sarjana muda dalam bidang Pengajian Jepun di Jabatan Pengajian Asia Timur, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS).


PESERTA melawat pusat kawalan trafik ketika berada di Jepun.

Ketua Jabatan Pengajian Asia Timur, FSSS UM Dr Rohayati Paidi berkata, menerusi program pengajian itu, mahasiswa didedahkan mengenai bahasa, budaya, ekonomi, sejarah dan hubungan antarabangsa Jepun.

Katanya, sebagai satu-satunya program pengajian yang menawarkan ilmu komprehensif mengenai Jepun, mahasiswa yang mengikuti program pengajian berkenaan perlu memanfaatkan platform itu.


PELAJAR berpeluang mengikuti kelas bermain dram di Pusat Kebudayaan Kamimachi.

Program itu bukan untuk lulus dalam peperiksaan semata-mata, sebaliknya menerapkan elemen nilai dan budaya positif masyarakat Jepun dalam kehidupan seharian.

“Di Jepun ada satu istilah ‘meiwaku’ yang bermaksud menyusahkan. Semua orang di sana, sejak kecil dididik supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan ‘meiwaku’ (kesusahan) kepada orang lain.


PELAJAR tingkatan enam di Kota Kinabalu turut memakai pakaian tradisional Jepun ketika UM mempromosikan program Pengajian Jepun di Sabah.

“Sebagai contoh, jangan membuang sampah sesuka hati yang boleh mendatangkan masalah kepada orang lain dan jangan menangguh waktu menghantar sesuatu tugasan kerana boleh membebankan individu lain selepas itu.

“Berteraskan kepada ‘meiwaku’, seluruh masyarakat Jepun tahu tanggungjawab masing-masing sama ada terhadap diri sendiri, mahupun orang di sekeliling yang akhirnya menjadikan mereka sangat berdisiplin,” katanya.


PESERTA program pertukaran budaya ke Jepun belajar membuat tembikar.

Berkongsi pengalaman menerusi program pertukaran pelajar ke Jepun selama enam bulan bermula September 2017 hingga Mac lalu, penuntut tahun ketiga program pengajian itu, Tuan Abdul Hadi Tuan Zainal Abidin, 22, berkata, banyak nilai positif daripada masyarakat Jepun yang diperoleh sepanjang berada di negara berkenaan.

Anak jati Besut, Terengganu itu mengakui keyakinan dirinya meningkat untuk berkomunikasi di hadapan khalayak ramai ketika mengikuti program pertukaran pendidikan Universiti Aoyama Gakuin di Tokyo.


TUAN Abdul Hadi (dua dari kanan) bersama rakan dari UM ketika berada di Universiti Aoyama Gakuin.

Katanya, pendidikan secara formal itu diperoleh semasa sesi pembelajaran dan mengenai penerapan nilai murni, dia banyak menimba perkara berkenaan dengan merasai sendiri pengalaman ketika bergaul dengan rakan sekelas dan masyarakat Jepun yang lain.

“Rakan dari Jepun sangat menepati masa, sebagai contoh sekiranya membuat temu janji pada jam 2 petang maka 10 minit sebelum waktu berkenaan mereka sudah tiba.

“Daripada pemerhatian dan pengalaman itu, saya belajar banyak nilai murni dan berusaha menerapkannya dalam diri, sebelum diterjemahkan kepada ahli keluarga, seterusnya masyarakat di negara ini,” katanya.


BERSAMA rakan dari Jepun, Jerman dan United Kingdom sebelum mendaki Takao San di Hachioji, Tokyo.

Sementara itu, penuntut tahun dua program sama, Aisha Rosheila Mohd Ridzuan, 20, berkata, dia juga teruja apabila dua kali terpilih ke Jepun mengikuti program pertukaran budaya dan Asian Peace Network masing-masing pada September dan November tahun ini.

Aisha Rosheila berkata, pengalaman dia sedikit berbeza apabila berpeluang tinggal bersama keluarga angkat di Kamimachi, Sendai selama tiga hari dua malam.

Katanya, walaupun bapa dan ibu angkatnya masing-masing berusia 80 dan 78 tahun, mereka begitu prihatin terhadap kebajikan dan memberi layanan terbaik sepanjang tinggal bersama.

“Walaupun sudah berusia, mereka bagaikan tidak kenal erti penat dan sentiasa kelihatan muda dan sihat, selain bertenaga melakukan kerja harian dengan baik termasuk bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah,” katanya.


AISHA Rosheila bersama ibu dan ayah angkatnya melawat Taman Yakurai di Kamimachi, Sendai, Jepun.

Geran sokongan bantu program

Yayasan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Jepun-Malaysia (JACTIM) menyerahkan geran sokongan bernilai RM60,000 untuk Program Pengajian Jepun, Jabatan Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

Geran sokongan berkenaan bertujuan membantu membangunkan Program Pengajian Jepun di UM, iaitu satu-satunya universiti di Malaysia yang menawarkan ijazah sarjana muda dalam bidang pengajian itu.

Pengerusi Pertukaran Budaya Antarabangsa JACTIM Masahito Hirai berkata, selain membangunkan Program Pengajian Jepun di UM, bantuan kewangan itu juga berupaya memupuk minat dan menggalakkan lebih ramai penuntut mempelajari mengenai Jepun sejajar dengan Dasar Pandangan ke Timur.

Beliau berkata, Dasar Pandang ke Timur banyak membantu dalam perkembangan bidang perindustrian selaras dengan hubungan erat antara Jepun dan Malaysia.


ABDUL Rahim (kiri) menerima cek daripada Duta Jepun Ke Malaysia Hiroyuki Orikasa (kanan) sambil disaksikan Masahito (dua dari kanan) dan Norina.

“Diharap penuntut yang menerima bantuan kewangan ini dapat meneruskan usaha mencapai kejayaan yang cemerlang, sekali gus memanfaatkan pengetahuan dan kebolehan mempelajari Pengajian Jepun untuk disumbangkan kepada pembangunan kedua-dua negara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Geran Sokongan Yayasan JACTIM kepada UM di bawah Program Pengajian Jepun, di Dataran Sastera, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), UM, di sini.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Pengarah Bahagian Tadbir Urus Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) Kementerian Pendidikan (KPM) Norina Jamaludin. Turut hadir Naib Canselor UM Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim.

Keseluruhan jumlah geran sokongan itu masing-masing diberikan kepada dua penuntut cemerlang tahun dua dan 14 penuntut tahun pertama program berkenaan, selain untuk keperluan penyelidikan dan bengkel penulisan tesis penuntut pasca siswazah, pembelian buku dan jurnal, penerbitan buku serta aktiviti berkaitan promosi Program Pengajian Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 7:30 AM