MENJUAL jambangan bunga yang digubah kreatif antara usaha memupuk jiwa keusahawanan.
Sarah Aina Shawal


Kini siswazah perlu memiliki kemahiran tambahan sebagai ilmu yang boleh diaplikasikan bersama-sama kemahiran yang mereka peroleh menerusi pengajian di peringkat universiti.

Ini kerana setiap tahun ramai graduan dihasilkan universiti, oleh itu golongan itu perlu lebih kreatif untuk mengaplikasikan apa yang dipelajari dan menambah ilmu dalam bidang bersesuaian supaya lebih berdaya saing dalam pasaran kerja.

Pelajar yang masih dalam pengajian pula tidak boleh hanya bergantung kepada pengetahuan akademik bidang pengajian masing-masing, mereka perlu memanfaatkan pelbagai program disediakan pihak universiti sebagai persediaan menempuh bidang pekerjaan sebaik tamat pengajian.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mass Hareeza Ali berkata, program yang dijalankan di universiti mencerminkan usaha bagi membantu pelajar supaya bukan saja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi memiliki nilai tambah lain seperti keusahawanan.

Katanya, pihaknya menyediakan pelbagai program bagi pelajar yang berminat dengan aktiviti keusahawanan.

Beliau berkata, program disediakan terbuka kepada semua pelajar kerana pihaknya menyasarkan 180 pelajar mendaftar perniagaan mereka dengan Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM) setiap tahun.


DR Mass Hareeza Ali ketika meninjau gerai jualan di UPM. FOTO/MUHD ZAABA ZAKERIA

“Pelajar akan diberi pendedahan kepada Program Siswapreneur [email protected] dan Program Siswapreneur [email protected] iaitu dua program yang direka untuk mengajar asas perniagaan serta bidang perniagaan khusus.

“Program Siswapreneur [email protected] adalah sebuah program yang diperkenalkan kepada pelajar yang ingin memulakan langkah dalam perniagaan dan membentuk minat serta melatih pelajar dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Menariknya program yang dijalankan selama empat hari tiga malam itu membabitkan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM), SME Bank dan SSM.

Modul yang dijalankan sepanjang program itu lebih kepada latihan dalam kumpulan (LDK). Antara modul yang diberikan termasuk idea perniagaan dalam kampus, Business Model Canvas (BMC), Rancangan Perniagaan (RP), Slot Cabaran Keusahawanan, pinjaman perniagaan dan penubuhan syarikat perniagaan.

Dr Mass Hareeza berkata, Slot Cabaran Keusahawanan adalah aktiviti kemuncak program itu yang peserta akan diberikan tugasan dan dijalankan di bandar berhampiran.

Katanya, peserta perlu membuat aktiviti berunsurkan keusahawanan dan membawa sejumlah keuntungan yang ditetapkan.

“Ketika slot ini berjalan, peserta tidak dibenarkan membawa sebarang keperluan peribadi melainkan produk yang diberikan setiap kumpulan.

“Tujuan utama slot ini dijalankan supaya peserta dapat menggunakan ilmu yang dipelajari dan mendedahkan sedikit sebanyak bidang perniagaan sebenar,” katanya.

Pada akhir program berkenaan peserta akan mendaftar perniagaan bersama-sama SSM, supaya selepas program tamat mereka dapat menjalankan perniagaan semasa dalam pengajian selain dapat menjana pendapatan sendiri.

Mengulas lanjut, Dr Mass Hareeza berkata, Siswapreneur [email protected] pula adalah program pembangunan keusahawanan pelajar dan terbuka kepada pelajar yang sudah mempunyai perniagaan.

Katanya, terdapat lapan modul dibangunkan tenaga pengajar dalam bidang keusahawanan dalam program terbabit.

“Antara tujuan utama program ini adalah supaya pelajar dapat mengembangkan perniagaan mereka agar lebih maju dan mampu bersaing dengan perniagaan sedia ada.

“Pengisian ini penting kerana untuk menjalankan suatu perniagaan mereka perlu memiliki ilmu dan risiko untuk gagal menjadi lebih rendah jika menjalankan perniagaan dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi menjalankan aktiviti perniagaan pelajar bukan saja perlu mempunyai ilmu yang dipelajari secara teori malah dijalankan secara praktikal.

“Dalam program ini juga pelajar akan diberi pendedahan bersama-sama peniaga Perusahaan kecil dan Serdahana (PKS) berkenaan pengalaman mereka sepanjang menjalankan perniagaan dan tip berguna berkaitan keusahawanan kepada pelajar.

“Sesuai dengan hasrat kerajaan dalam usaha menjadikan keusahawanan sebagai opsyen kerjaya selepas tamat pengajian seterusnya membantu mengurangkan kadar pengangguran graduan, malah membantu membentuk usahawan dalam industri PKS,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar yang mengikuti program dijalankan di bawah CEM, Noorazeaty Maulad Mohd Khalif berkata, pelbagai pengalaman baharu dipelajarinya berkaitan aktiviti keusahawanan ketika mengikuti program di bawah CEM yang tidak diperoleh dalam kursus diambil.

Pelajar semester tujuh Bacelor Pembangunan Manusia itu berkata, minat dalam perniagaan mendorongnya untuk menyertai program CEM pada tahun kedua sehingga terpilih mengikuti pengajian di Ali Baba Bussiness School di China untuk mendalami ilmu lebih mendalam dalam bidang perniagaan.

“Alhamdulillah, dengan peluang diberikan, kini saya berjaya memasarkan produk coklat ke pasaran luar daripada universiti iaitu di Pulau Langkawi dan dalam perancangan dalam memasarkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 5:30 AM