NUR Fatihah ketika melakukan kerja rekaan emas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.
Fazurawati Che Lah

BUAT pertama kalinya Malaysia menghantar peserta berkemahiran dalam bidang rekaan bentuk emas untuk menyertai Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2019 di Kazan, Rusia pada 22 hingga 27 Ogos ini.

Dalam pertandingan bertaraf antarabangsa itu, 60 bidang kemahiran dipertandingkan dan 20 daripadanya disertai peserta terdiri daripada belia berusia 22 tahun ke bawah dari negara ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Pemantauan Projek Jabatan Pembangunan Kemahiran, Dr Ghalip Spahat berkata, pihaknya menyedari negara mempunyai modal insan yang kurang kepakaran dalam teknologi, namun kreatif dalam menghasilkan produk seni yang berkualiti sehingga menarik perhatian dunia.

Katanya, antara kreativiti yang dimiliki belia negara ini adalah dalam rekaan bentuk emas apabila mempunyai wakil tunggal yang akan membawa cabaran ke peringkat dunia sedangkan bidang itu baharu sahaja diperkenalkan tahun lalu.

“Selama 13 tahun kita mengambil bahagian, ini kali pertama kita memasuki kategori rekaan bentuk emas apabila seorang peserta dari Institut Kraf Negara (IKN) melepasi tiga pertandingan iaitu pada peringkat nasional, Asia Tenggara dan Asia.

“Ia sesuatu yang mengagumkan kerana bidang ini adalah kemahiran baharu yang diperkenalkan, namun sudah mampu ke peringkat dunia dan kita sasarkan peserta ini dapat membawa pulang pingat emas kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pertandingan itu, selain meninjau persiapan wakil tunggal negara dalam bidang rekaan bentuk emas berkenaan di Kilang Jin Huo Golds and Jewellery, baru-baru ini.


DR GHALIP (kanan) melihat hasil kerja Nur Fatihah.

Nurfatihah Hassan, 22, yang akan membawa cabaran negara dalam bidang itu kini sedang mempersiapkan diri dengan mengikuti latihan di kilang berkenaan yang pakar dalam pembuatan dan rekaan bentuk barangan kemas hingga diiktiraf dunia.

Ghalip berkata, selain bidang rekaan emas, Malaysia turut menyertai lima lagi bidang baharu iaitu gubahan bunga, pastri, bakeri, pengkomputeran awan dan lukisan kereta.

“Pertandingan kemahiran ini adalah satu usaha kerajaan dalam memajukan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir di negara ini, sekali gus mengurangkan kebergantungan pekerja asing.

“Bagi memberi galakan kepada peserta, kerajaan menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM40,000 kepada mereka yang mampu membawa pulang pingat emas kepada negara, selain hadiah menarik lain termasuk menganugerahkan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia yang setaraf dengan Ijazah,” katanya.

Sehingga kini, Malaysia berjaya membawa pulang tiga pingat daripada pertandingan berkenaan iaitu satu gangsa di Sao Paulo, Brazil pada 2015 dan dua gangsa di Abu Dhabi ketika pertandingan dua tahun lalu.

Sementara itu, Nurfatihah berkata, dia teruja selepas dipilih menjadi wakil tunggal negara dalam pertandingan kemahiran itu dalam bidang rekaan emas.

Anak kelahiran Kelantan itu kini sedang membuat persiapan dari segi fizikal dan mental dalam memastikan dia dapat menyesuaikan diri ketika pertandingan berlangsung.

“Terus terang, saya berasa sedikit gemuruh apabila memikirkan tarikh pertandingan yang semakin hampir tetapi saya akan cuba yang terbaik untuk membawa pulang emas kepada Malaysia.

“Saya berharap segala persiapan yang dibuat antaranya menyertai kem untuk meningkatkan tahap keyakinan diri termasuk mengikuti latihan di kilang emas ini dapat membuahkan hasil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 11:45 AM