KUMPULAN penuntut PTSS bergambar dengan pengusaha kuih Dangai Che Elina Abdul Rahman.
Fazurawati Che Lah dan Mohd Taufik Murad

INOVASI yang dihasilkan mahasiswa menjadi bukti ilmu yang dipelajari mampu dimanfaatkan dalam kalangan masyarakat.

Sumbangan itu secara tidak langsung dapat membantu mengubah corak ekonomi penduduk di sesuatu tempat.

Usaha Duta Jauhar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 5.0 umpamanya menghasilkan produk inovasi nuget pisang memanfaatkan enam ibu tunggal di Kampung Parit Haji Anuar, Ayer Hitam, Muar, Johor.

Ini terbukti apabila idea cetusan penuntut Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Program Bahasa Arab dan Komunikasi USIM, Adlin Hayat Mustafa itu membuka ruang kepada golongan terbabit menambah pendapatan keluarga.

dlin Hayat yang juga pengarah projek bagi duta berkenaan berkata, pelaksanaan projek inovasi itu bagi meneruskan Duta Jauhar USIM 4.0 dan tahun ini mereka memperkenalkan nuget diperbuat daripada pisang.

Katanya, pemilihan nuget sebagai produk kali ini memandangkan makanan seperti itu digemari kanak-kanak.


KUMPULAN sasar yang dibantu untuk mengubah ekonomi keluarga.

“Kebanyakan kanak-kanak pada hari ini gemar memakan makanan segera seperti nuget ayam, bebola ikan, burger dan sebagainya.

“Kandungan kalori yang tinggi menyebabkan makanan seperti itu tidak sesuai untuk kesihatan kanak-kanak dan pengambilannya dalam menu seharian perlu dikawal,” katanya.

Menurutnya, dari situ tercetus idea untuk mengolah hidangan nuget berkhasiat dan diolah daripada buah-buahan tempatan.

“Kandungan nutrisi seperti kalium dan juga asid folat pada buah pisang sangat sesuai untuk ibu mengandung.

“Selain itu, pisang juga kaya dengan kandungan vitamin dan mineralnya yang penting seperti vitamin C, vitamin B kompleks, kalium, kalsium, fosforus, zat besi dan magnesium,” katanya.

Katanya, produk itu mudah dihasilkan pada skala besar kerana pisang banyak ditanam di kampung, selain harga bahan mentah berpatutan.

Adlin Hayat berkata, dengan adanya projek sebegitu dapat memberi peluang pekerjaan kepada golongan sasaran.


PELBAGAI bidang memerlukan kepakaran teknologi untuk tingkatkan pengeluaran.

“Projek ini diusahakan golongan sasaran dan kumpulan duta jauhar pula akan bantu dari segi pemasaran produk.

“Ia membabitkan golongan sasaran seramai enam ibu tunggal di kawasan Kampung Parit Haji Anuar, Ayer Hitam, Muar, Johor,” katanya.

Peserta, Sitah Jais, 66, berkata, dia berterima kasih kepada USIM membantu meringankan beban sekeluarga dengan menyediakan program keusahawanan ini.

“Alhamdulillah, selepas hampir setahun program ini berlangsung, pendapatan kami sebulan semakin meningkat yang dulu boleh dianggap kais pagi makan pagi kini, kais petang makan petang.

“Ini adalah idea yang baharu dan pertama dalam Malaysia, sekali gus menjadikan nuget pisang ini unik berbanding produk tempatan yang lain,” katanya.


MASYARAKAT memerlukan ilmu kepakaran daripada mahasiswa.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Mak Ita berkata, produk dan inovasi yang baharu itu perlu diketengahkan bagi mempergiat proses penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Dalam aspek khasiat, nuget pisang lebih baik berbanding sedia ada di pasaran kerana mempunyai protein baik dan kandungan lemak yang rendah menjadikan ia sesuai dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya.

Begitu juga dengan masalah pengeluaran kuih dangai yang lambat akibat penggunaan dapur kurang sesuai memberi idea kepada sekumpulan penuntut Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Arau, Perlis menghasilkan inovasi dapur pembakar kuih untuk pemanis mulut itu.

Inovasi dihasilkan sekumpulan penuntut jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSS itu berupaya mempercepatkan penghasilan kuih dangai.


TEKNOLOGI yang dihasilkan memberi manfaat kepada masyarakat.

Ketua Projek, Muhammad Aizat Abdul Halim berkata, rekaan itu hasil tinjauan masalah dihadapi usahawan kuih dangai di bawah bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) kawasan Jerlun, Kedah iaitu Che Elina Abdul Rahman.

“Peniaga menghadapi masalah berkaitan pengeluaran kuih dangai yang lambat akibat penggunaan dapur kurang sesuai.

“Dapur yang digunakan sebelum ini mempunyai tempat pembakaran yang sedikit, api perlahan dan tidak boleh dilaraskan,” katanya.

Katanya, rekaan dapur dihasilkan menggunakan dapur gas konvensional dengan gabungan tungku pada alat memasak itu, sekali gus menambah bilangan tungku dapur pembakar dangai sedia ada daripada tiga kepada enam acuan.

Sementara itu, Che Elina berkata, dapur yang dihasilkan penuntut PTSS itu membantu meningkatkan pengeluaran kuih warisan itu terutama pada hujung minggu yang kebiasaannya mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Kebiasaannya, pelanggan terpaksa beratur panjang untuk membeli kuih dangai akibat pembakaran yang lambat.

“Kini tidak lagi, malah dapat menjimatkan proses pembakaran, pengeluaran kuih turut bertambah seterusnya meningkatkan pendapatan saya,” katanya .


PERBANDINGAN dapur membuat kuih dangai, dapur lama (kiri) dan dapur hasil inovasi (kanan).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 11:51 AM