DR HENDRIK (dua dari kanan) menekan punat mesin ULV terbaharu untuk semburan denggi.
Fazurawati Che Lah


Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) digalakkan menjual barangan yang boleh dikitar semula melalui program SMART CAMPUS 3R dan hasil jualan pula akan dimasukkan ke dalam aplikasi Kiple Pay pelajar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Prof Madya Dr Hendrik Lamsali berkata, melalui penjualan itu pelajar bukan sahaja menjaga kebersihan malah menambah sumber kewangan mereka.

“Peringkat permulaan program ini akan dilaksanakan di Inasis YAB dan Inasis Muamalat.

“Program Smart Campus 3R yang diperkenalkan ini selaras dengan kehidupan kampus yang akan menaikkan penarafan universiti dalam ‘green matrix,” katanya pada majlis Perasmian Institut Pengajian (IPT) Bebas Denggi peringkat universiti di Dewan Mawar, Inasis Muamalat, UUM, Sintok, Kedah.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Dr Massudi Mahmuddin dan Pengarah Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Dr Adi Azhar Abdul Razak.

Dalam majlis yang sama, Dr Hendrik berbangga dan mengucapkan tahniah kepada Inasis MISC, TM dan BSN yang mewakili universiti untuk Anugerah IPT Bebas Denggi serta berjaya memenangi dua anugerah iaitu johan pertandingan dan Anugerah Pengurusan Denggi Terbaik 2019.

Pada tahun ini, Inasis YAB dan Inasis Muamalat dipilih mewakili UUM dalam kategori kolej kediaman.

Sementara itu, dalam strategi pengurusan Aedes di kampus itu Dr Hendrik berkata, penyebaran ilmu perlu ditekankan bagi mengawal dan menghapuskan nyamuk Aedes melalui pelbagai aktiviti bukan sahaja bagi pencegahan, malah untuk mendidik pelajar khususnya.

Katanya, dalam menjayakan strategi itu, antara aktiviti yang diatur ialah latihan asas pemusnahan tempat pembiakan Aedes kepada staf dan pelajar Inasis, pameran denggi bersama Jabatan Kesihatan Kedah serta sebaran informasi di media sosial dan edaran risalah.

“Beberapa pendekatan lain antaranya mewujudkan borang audit kendiri yang digunakan untuk merekod aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan jentik-jentik yang dijumpai di sekitar Inasis.

“Hasil kesepakatan dan usaha yang dijalankan dalam memantapkan lagi kefahaman warga UUM berkenaan penyakit denggi dan nyamuk Aedes bermula dari 2018 hingga hari ini, tiada kes denggi yang direkodkan berlaku dalam kampus UUM,” katanya.

Katanya, dianggarkan 30 tan sampah yang boleh dikitar semula dalam tempoh setahun di kampus itu namun kerana pengurusan yang cekap, kes denggi dapat dielakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 10:24 AM