ASHIKIN menunjukkan sijil dan pingat yang dimenangi pelajar. FOTO NSTP
Fazurawati Che Lah

SERAMAI empat pelajar Diploma Kulinari Kolej Komuniti Chenderoh, Kuala Kangsar, Perak berjaya menempatkan diri mereka sebaris dengan peserta dari luar negara pada pertandingan Culinary Challenge 2019 yang berlangsung di SFH Food & Hotel, Seoul, Korea anjuran Worlds Association Of Chefs Societies, baru-baru ini.

Pelajar itu ialah Addib Amran, Muhammad Anas Ibrahim, Saifullah Adli Saiful Hizam dan Muhammad Isyraq Syamim Muhsain yang berjaya membawa pulang empat pingat perak, empat gangsa dan enam diploma serta hadiah Winner International Cooking Team Award, Atlantic Chef Knife Set, High End Nonstick Pan, 3rd Place Main Course Chinese Stir Fry dan Lotte Voucher Restaurant Hotel Judges Special Award.

Pelbagai kategori pertandingan diadakan seperti Italian Pasta, Main Course Poultry, Nestle Professional Team Cooking, International Team Cooking, Main Course Fish, Main Course Seafood, Hot Appetizer dan Main Course Chinese Stir Fry.

Negara yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu terdiri daripada Thailand, Taiwan, Filipina, Myanmar, Malaysia, Korea dan Kemboja.

Pensyarah kulinari yang juga ketua pengiring, Khairul Ashikin Abdullah Suhaimi berkata, program SFH 2019 kali ini agak sengit kerana beberapa kriteria penting perlu dipenuhi peserta.

“Saya berbangga dengan pencapaian pelajar ini apabila berjaya meraih tiga anugerah dalam pertandingan itu.

“Menang kalah adat bertanding, apa yang penting semangat berpasukan yang ditunjukkan ahli kumpulan,” katanya.

SEORANG peserta bersedia untuk pertandingan memasak. FOTO NSTP

Sementara itu, Muhammad Anas, 22, berkata mereka amat berbesar hati kerana dapat mewakili Kolej Komuniti Malaysia dalam pertandingan itu, malah terharu dengan sokongan Pengarah Kolej Komuniti Chenderoh yang sentiasa memberi semangat untuk terus maju dalam bidang berkenaan.

“Pendedahan di luar negara ini amat bermakna kepada kami semua. Lebih membanggakan lagi apabila mendapat komen daripada juri pertandingan yang memuji kumpulan kami,” katanya.

Bagi Timbalan Pengarah Akademik Kolej Komuniti Chenderoh, Mohd Mohadir Harun, pertandingan FHT 2019 adalah medium untuk menyerlahkan kebolehan dan keupayaan pensyarah serta pelajar pada peringkat antarabangsa.

“Kejayaan merangkul beberapa anugerah dan pingat meletakkan peserta pada satu piawaian yang amat membanggakan selaras dengan visi JPPKK iaitu menjadi peneraju TVET yang unggul.

“Malah kejayaan ini juga memberikan nilai tambah kepada pensyarah dalam perkembangan kerjaya mereka termasuk pelajar untuk meneruskan pengajian dan bidang pekerjaan itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2019 @ 9:18 AM