AZMIR (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif F&N Lim Yew Hoe (dua dari kiri) memegang hidangan yang disajikan McDonald’s pada majlis memeterai kerjasama strategik, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

Petaling Jaya: McDonald’s Malaysia akan melabur RM1.4 bilion bagi meningkatkan jumlah outletnya kepada 450 di seluruh negara menjelang 2025.

Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Operasinya Azmir Jaafar berkata, McDonald’s Malaysia mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 16 peratus tahun lalu dan yakin dapat meneruskan trend itu tahun ini.

Menurutnya, McDonald’s Malaysia kini mempunyai 262 restoran dan 12,000 kakitangan yang memberi khidmat kepada 160 juta pelanggan setahun.

“McDonald’s Malaysia komited meneruskan pelan pengembangan secara agresif.

“Komitmen kami untuk melabur RM1.4 bilion dalam tempoh 10 tahun adalah bukti keyakinan kami terhadap masa depan negara ini,” katanya pada majlis memeterai kerjasama strategik dengan Fraser & Neave (F&N) Beverages Marketing Sdn Bhd, semalam.

Beliau berkata, pengembangan itu boleh mewujudkan 6,000 pekerjaan lagi selain daripada 12,000 yang dimiliki McDonald’s Malaysia ketika ini.

Katanya, pelaburan itu merncerminkan komitmen untuk memberi perkhidmatan kepada bilangan pelanggan yang semakin bertambah.

Menurutnya, McDonald’s Malaysia juga percaya dengan komitmen dilaksanakan dapat meningkatkan jumlah pelanggan, sekali gus memberi mereka pilihan makanan dan minuman yang lebih banyak.

“Setakat ini, terdapat 150 restoran McDonald’s yang mempunyai pandu lalu, 200 rangkaian beroperasi 24 jam dan lebih 90 rangkaian dilengkapi dengan McDelivery dan McCafes,” katanya.

Sebelum ini, McDonald’s Malaysia berkongsi pelan perniagaan untuk tempoh tiga tahun bermula tahun ini dengan memperuntukkan RM363 juta bagi membuka lebih 30 cawangan baru dan mencipta 2,000 peluang pekerjaan dalam tempoh berkenaan.

Azmir berkata, selain itu, pihaknya juga berada di landasan tepat untuk meningkatkan segmen pembayaran tanpa tunai di semua restorannya.

“Hampir semua restoran sudah memperkenalkan pembayaran tanpa tunai, namun kebanyakan pelanggan masih lebih gemar untuk membuat pembayaran secara tunai, mungkin disebabkan harga menu di McDonald’s yang lebih berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, McDonald’s Malaysia akan sentiasa berusaha memberi kualiti terbaik bukan saja kepada makanan dan minuman ditawarkan, malah perkhidmatan kepada pelanggan.

Sehingga kini, McDonald’s Malaysia mempunyai 12,000 tenaga pekerja di seluruh negara bagi memberi perkhidmatan kepada 13.5 juta pelanggan setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 3:48 AM