Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perumahan mampu milik masih menjadi isu yang belum dapat diselesaikan dengan baik biarpun permintaan bagi segmen hartanah berkenaan semakin meningkat di negara ini.

Malah, ia masih menjadi cabaran utama kepada kerajaan khususnya untuk membekal dan menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi dan benar-benar mampu dimiliki rakyat ketika harga rumah semasa yang terus meningkat saban tahun.

Walaupun terdapat pelbagai program perumahan mampu milik dilaksanakan sama ada kerajaan melalui pelbagai agensinya mahupun pemaju swasta, namun ia dilihat tidak dapat memenuhi keperluan rakyat terhadap keperluan untuk memiliki kediaman sendiri.

Presiden Persatuan Ejen Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM) Ishak Ismail berkata, isu rumah mampu milik masih tidak dapat ditangani dengan berkesan berikutan terdapat kekeliruan berhubung definisi rumah mampu milik itu sendiri.

“Pada masa ini, definisi rumah mampu milik masih tidak jelas dan hanya bersifat umum kerana pemahaman yang berbeza antara kerajaan Pusat, kerajaan negeri serta syarikat pemaju swasta.

“Oleh itu, amat wajar dan kritikal untuk menetapkan satu definisi yang dapat memberi maklumat lebih jelas dan lengkap kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, definisi lebih jelas mengenai rumah mampu milik perlu ditetapkan berdasarkan keperluan setiap golongan seperti pembeli baru bekerja, pasangan baru berkahwin, golongan berpendapatan rendah dan sebagainya.

Menurutnya, definisi rumah mampu milik itu perlu diwujudkan berdasarkan julat harga berbeza mengikut segmen pembeli di negara ini yanga hanya menyebabkan pembeli sukar mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank dan institusi pembiayaan yang lain.

“Ketika ini, ramai individu masih belum mampu membeli rumah sendiri meskipun rumah ditawarkan rumah kos rendah berikutan ketidaksepadanan antara kemampuan dan harga rumah itu sendiri,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga diminta menyelesaikan kesukaran mendapatkan pembiayaan dalam kalangan pembeli yang dilihat masih menjadi masalah utama kepada pemilikan rumah termasuk rumah mampu milik di negara ini.

Menurutnya, pada masa ini, pembekalan atau penawaran rumah mampu milik dilihat berada pada tahap memuaskan, namun kelayakan pinjaman menjadi kekangan utama kepada pemilikan rumah berkenaan.

“Justeru, penyelarasan definisi dan kemudahan untuk mendapatkan pembiayaan adalah langkah terbaik bagi memastikan semua individu berpeluang mendapatkan pembiayaan untuk memiliki rumah masing-masing pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, pihak berwajib juga disaran supaya mengemas kini data pembeli kerana pada masa ini segala maklumat mengenai pembeli tidak seragam, sekali gus menyebabkan sesetengah individu sukar mendapatkan pinjaman perumahan.

“Selain itu, masalah membabitkan perumahan mampu milik bagi golongan sasar di bandar dan luar bandar juga perlu ditangani dengan teliti dan produktif di mana kedua-dua lokasi itu memiliki harga dan permintaan yang berbeza,” katanya.

Mengulas cadangan mewujudkan pasukan petugas khas untuk memantau program rumah mampu milik sebagai kaedah menangani isu berkenaan, Ishak berkata, langkah itu tidak wajar kerana hanya menyamai peranan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai badan kawal selia industri perumahan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 1:58 AM