CHEAH selepas majlis mengumumkan pembukaan hotel terbaru Sunway Hotels & Resorts, semalam.
Wan Nur Ameera Meor Rozman
bisnes@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sunway Property, pemaju hartanah terkemuka negara merancang untuk meninjau lebih banyak kawasan berpotensi tinggi khususnya di sekitar kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Pengarah Urusan bagi Malaysia dan Singapura Sunway Property, Sarena Cheah berkata, penerokaan peluang itu bukan saja dapat meningkatkan pertumbuhan hartanah pada masa depan, malah dapat mengembangkan lagi cabang perniagaan kumpulan.

“Sehingga kini, kami sudah mengambil alih lima kawasan membabitkan Kampung Attap, Kajang dan Wangsa Maju dengan nilai untuk dibangunkan bernilai RM5.5 bilion.

“Lokasi berdekatan jalan raya dan khususnya pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) mampu memberikan tambah nilai kepada setiap pembangunan hartanah sekali gus menawarkan pengguna dengan lebih banyak capaian,” katanya pada sidang media selepas majlis mengumumkan pembukaan hotel terbaru Sunway Hotels & Resorts iaitu Sunway Velocity Hotel pada 20 September ini di Kuala Lumpur, semalam.

Cheah berkata, pihaknya sentiasa mempertimbangkan faktor lokasi kerana ia membantu mempelbagai dan mengukuhkan lagi kehadiran jenama kumpulan di kawasan pembangunan.

Katanya, persekitaran kelembapan ekonomi adalah peluang terbaik untuk kumpulannya meneroka peluang bagi meningkatkan lagi pertumbuhan kumpulan.

Ketika ini, Sunway Property memiliki bank tanah berkeluasan kira-kira 1,335 hektar dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM55 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 4:19 AM