X
JEBASINGAM
JEBASINGAM
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menerusi kerajaan negeri Pahang merekodkan jumlah pelaburan domestik dan asing berjumlah RM64.9 bilion dalam pelbagai projek dan program transformasi sosioekonomi dijalankan di negeri itu setakat penghujung Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, dalam inisiatif yang dilaksanakan, ia bukan saja terus memacu pelaburan swasta di Pahang, malah menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan bagi kesejahteraan masyarakat setempat.

Beliau berkata, dalam tempoh sama, pelaburan itu juga berjaya mewujudkan lebih daripada 55,933 peluang pekerjaan serta 3,538 peluang keusahawanan untuk rakyat Pahang.

“Pertumbuhan kukuh dalam pelaburan swasta di Pahang sebahagian besarnya didorong oleh sektor pembuatan yang menyumbang 49.1 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan diikuti sektor pelancongan (23.2 peratus) serta sektor minyak dan gas (14.2 peratus).

“Kami melihat potensi lebih besar untuk negeri di bawah ECERDC ini perkembang ekonominya khususnya dalam sektor logistik dan fasilitasi perdagangan yang berpeluang mendapat manfaat daripada peningkatan pergerakan orang ramai dan barangan.

“Ini susulan pelaburan berterusan kerajaan dalam projek infrastruktur berimpak tinggi di ECERDC, disokong pelbagai program pembangunan modal insan yang strategik dan inklusif,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Sektor logistik dan fasilitasi perdagangan dijangka memainkan peranan penting dalam keseluruhan ekonomi di Pahang dan ECERDC terutamanya apabila projek peluasan Pelabuhan Kuantan untuk menjadi pelabuhan laut dalam siap menjelang 2018.

Beliau berkata, dengan kedudukannya sebagai ‘Gerbang ke Asia Pasifik’, Pelabuhan Kuantan bersedia menawarkan satu jalan terpantas ke pelabuhan utama di China dan pasaran lain di Asia Pasifik kepada pelabur di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ) dan Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 9:35 AM