TELEFON Galaxy Note 8 yang dilancarkan di Pavillion, bulan lalu.
TELEFON Galaxy Note 8 yang dilancarkan di Pavillion, bulan lalu.
HM Digital

Kuala Lumpur: Jualan telefon pintar Samsung Galaxy Note 8 di Korea Selatan mencecah sejuta unit selepas lebih sebulan berada dalam pasaran tempatan.

Menurut laporan agensi berita Yonhap yang memetik data industri, gergasi teknologi Korea Selatan itu memulakan jualan rasmi gajet phablet berukuran 6.3 inci itu pada 21 September dengan 850,000 unit terjual melalui pesanan awal bermula seminggu sebelum itu.

Angka itu menenggelami pesanan awal bagi Galaxy Note 7, yang hanya menarik jualan 380,000 unit.

Samsung Electronics berkata, ia merancang menambah edisi warna emas bagi produk Galaxy Note 8 yang kini hanya boleh didapati dalam warna hitam, biru dan kelabu.

Langkah itu diambil selepas saingan utamanya, Apple Inc merancang memulakan penjualan tempatan iPhone 8 minggu ini.

Harga Galaxy Note 8, yang mempunyai kapasiti memori dalaman 64 gigabait ialah 1.09 juta won (RM4,138)

Harga iPhone 8 Plus berukuran 5.5 inci dengan kapasiti sama ialah 1.07 juta won (RM4,100).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 8:12 AM