ORANG ramai melihat model Vios Sports Edition sempena Toyota GAZOO Racing Festival.
HM Digital

Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival yang berlangsung hujung minggu ini di Malaysian Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) menawarkan Vios Sports Edition bagi pengunjung yang bertuah.

Toyota dalam kenyataan berkata, untuk layak memenangi kereta berkenaan, pengunjung perlu hadir ke TGR Racing Festival, mengisi borang dan jawab beberapa soalan mudah.

“Borang dengan jawapan yang betul akan layak untuk membawa pulang Vios Sports Edition yang diberi penggayaan sama seperti jentera lumba Vios Challenge,” katanya.

Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival akan menampilkan aksi perlumbaan kereta, pertunjukkan drift, penampilan selebriti serta permainan pentas.

“Kemuncak acara hujung minggu ini adalah perlumbaan Vios Challenge, terutama bagi kategori Super Sporting, di mana kebanyakan daripada pemandu perlumbaan profesional di Malaysia akan berentap merebut kejuaraan sulungnya.

“Satu lagi perlumbaan yang ditunggu-tunggu ialah kategori Promotional di mana pelumba selebriti seperti Fattah Amin, Shukri Yahaya, Diana Danielle, Janna Nick, Geraldine Gan, Danny Koo, Venice Min dan Shawn Lee akan bersaing untuk muncul juara,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya promosi Toyota RM1 Juta Bonanza yang menawarkan sehingga RM1 juta masih lagi berlangsung bagi mereka yang membeli kenderaan baru Toyota sebelum akhir tahun ini.

“Selain pameran model terbaru Toyota, sesi pandu uji bagi hampir semua model terbaru Toyota turut diadakan. Pengunjung juga berpeluang mendekati model C-HR yang turut dipamerkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 7:39 AM