HM Digital

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad (Celcom) memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia rangkaian data terkemuka di Malaysia apabila berjaya meraih peningkatan hasil perkhidmatan kepada RM1.52 bilion atau 1.9 peratus pada tahun kewangan suku ketiga berakhir 30 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekustifnya, Michael Kuehner berkata, bagi jumlah keseluruhan hasil syarikat terbabit berjaya mencatatkan sebanyak RM1.65 bilion atau peningkatan sebanyak 2.1 peratus.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memperbaiki tawaran produk kepada pelanggan setia Celcom menerusi perbelanjaan modal sebanyak RM1.3 bilion bagi sepanjang 2017 dan sehingga kini sebanyak RM670 juta sudah dibelanjakan.

“Kami kini sedang giat melaksanakan usaha berterusan dalam fokus untuk mempertingkatkan pengalaman digital pelanggan, sebagai komitmen dalam menyediakan pengalaman luar biasa kepada mereka.

“Sebagai contoh, kami turut memberi tumpuan kepada Sabah dan Sarawak dengan memperkenalkan prkhidmatan perhubungan Internet fiber berkelajuan tinggi iaitu Celcom Home Fibre dan Celcom Business Fibre iaitu Internet tanpa had dengan kelajuan muat turun 100Mbps.

“Selain itu, kami turut mempelbagaikan inisiatif yang memberi manfaat kepada pengguna seperti Hab Pengalaman Media Sosial, perkhidmatan e-Hadiah, pelan ansuran telefon pintar serta kerjasama dengan Grab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai prestasi pencapaian Celcom untuk suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2017 di sini, semalam. Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Azwan Khan Osman Khan dan Ketua Pegawai Kewangan, Jennifer Wong.

Kuehner berkata, Celcom berjaya mengekalkan prestasi data keseluruhan pada suku ketiga dengan hasil data bagi tahun ke tahun yang meningkat kira-kira 25 peratus kepada RM730 juta, menyumbang 44 peratus kepada hasil syarikat.

“Penggunaan data turut meningkat sebanyak 16.1 peratus pada asas suku tahunan kepada 7.2GB setiap bulan bagi setiap pengguna dan ia melonjakkan peningkatan penggunaan telefon pintar menjadi 72 peratus berbanding 62 peratus pada suku kedua 2017,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mengenai perancangan pada 2018, pihaknya merancang untuk melancarkan beberapa pelan baru dalam merancakkan perniagaan dan meningkatkan keuntungan syarikat di samping langkah mengoptimumkan kecekapan syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 3:35 AM