MANMINDER (kanan) dan Nazrin ketika majlis pertukaran MoU antara Cradle dan Supernewsroom di Damansara, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) menjalin kerjasama strategik dengan Supernewsroom, platform media digital pertama Asia dalam membantu 1,000 syarikat pemula untuk mendapatkan pendedahan media, sekali gus menjadi medium untuk mempertingkat perniagaan masing-masing.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Supernewsroom Manminder Kaur berkata, platform media digital terbabit mempunyai pangkalan data editor, wartawan, penerbit dan penulis yang dihimpunkan dalam satu direktori portal.

Beliau berkata, syarikat pemula yang ingin mendapat pendedahan media dengan mudah boleh mengakses Supernewsroom yang mempunyai 25,000 direktori media dari 5,000 agensi media dari rantau Asia Tenggara.

“Kebanyakan syarikat pemula memerlukan publisiti dari segi pemasaran dan perhubungan awam bagi memastikan perniagaan yang sedang meningkat naik akan terus berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Cradle dan Supernewsroom yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle, Nazrin Hassan dengan Manminder di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 7:16 AM