HO
Sri Ayu Kartika Amri


Subang Jaya: Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan bekerjasama dengan Facebook buat kali kedua menganjurkan bengkel Shopee University bagi menyokong jenama terkemuka mengukuhkan kehadiran eDagang dan media sosial mereka.

Bengkel itu turut membabitkan lebih daripada 200 jenama terkemuka termasuk jenama antarabangsa BUM Equipment, IKEA, Ogawa, Wyeth dan Hush Puppies serta jenama tempatan seperti MR. DIY dan Cosmoderm.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, kedai rasmi di platform Shopee sudah mempunyai kedudukan kukuh dalam landskap peruncitan tradisional dan kini mereka mahu meluaskan capaian mereka secara dalam talian.

“Bersesuaian dengan komitmen kerajaan Malaysian ke arah pendigitalan ekonomi, Shopee berbangga dapat memainkan peranan dalam memajukan sektor e-dagang dengan menyokong jenama terbabit dalam menguatkan lagi kehadiran dalam talian mereka,” katanya di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, Shopee menggabungkan pakar industri daripada pelbagai jenama termasuk Petronas, Digi dan Photobook Worldwide untuk berkongsi amalan perniagaan terbaik dan wawasan mereka dalam meningkatkan kehadiran dalam talian serta pembabitan pengguna.

Sementara itu, Ketua, Peruncitan & e-dagang (Asia Tenggara) Facebook, Deepesh Trivedi berkata, pihaknya komited untuk membantu lebih banyak perniagaan untuk menggunakan kuasa mobil dalam mengembangkan perniagaan dan mendekati lebih daripada 21 juta rakyat Malaysia yang melayari Facebook menerusi telefon bimbit mereka.

“Kami berharap dapat meneruskan usaha sama dengan rakan seperti Shopee dalam menyokong usahawan dan membantu mereka untuk mencapai sasaran masing-masing,” katanya.

Shopee turut merancang untuk mengembangkan inisiatif Shopee University ke seluruh Malaysia dengan melanjutkan kursus yang ditawarkan dan menjemput lebih ramai pemimpin industri untuk berkongsi kepakaran mereka dengan usahawan Shopee.

Untuk maklumat lanjut mengenai Shopee University, boleh melayari http://uni.shopee.com.my/.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 12:59 AM