AZMAN Mohd
AZMAN Mohd
HM Digital

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) membeli 80 peratus kepentingan dalam dua syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) dari United Kingdom (UK), GVO Wind Ltd dan Bluemerang Capital Ltd bernilai £77.37 juta (RM418.13 juta).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd berkata, pengambilalihan aset tenaga angin itu secara relatifnya adalah penerokaan komersial baharu oleh TNB.

“Pengambilalihan ini akan mengukuhkan portfolio RE TNB kepada tapak asetnya dan meningkatkan pengetahuan teknikal serta komersial syarikat dalam ruang pasaran RE.

“TNB menantikan pelaburan masa depan yang akan membawa sinergi kepada syarikat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

TNB berkata, langkah itu sejajar dengan pengembangan strategi RE syarikat untuk menjadi antara peserta utiliti terkemuka global pada 2025.

Pengambilalihan portfolio operasi tenaga berasaskan bayu laut itu dibuat menerusi dua perjanjian pembelian saham dan perjanjian pemegang saham di antara anak syarikat TNB, Tenaga Wind Ventures UK Ltd dan vendor, Georg von Opel serta Tanzanite BV dan Catalin Breaban.

Ia juga menandakan penyertaan kali pertama TNB dalam sektor tenaga bayu laut di UK yang juga sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Pengembangan Antarabangsa Lima Tahun TNB.

Syarikat yang dibeli itu memiliki portfolio Feed-In-Tariff (FIT) angin terbesar di UK, merangkumi 53 turbin angin sederhana beroperasi dengan kapasitu keseluruhan 26.1 megawatt (MW).

Pengambilalihan itu adalah yang kedua buat TNB di UK selepas mengambilalih aset fotovolta Vortex Solar.

Pengambilalihan portfolio operasi angin itu adalah pelaburan risiko rendah kepada TNB kerana tiada pendedahan risiko dari segi perancangan dan pembinaan.

Selain itu, portfolio angin itu terdiri daripada aset yang masih muda dengan purata umur 2.5 tahun dan anggaran hayat kegunaan lebih 25 tahun.

Aset ini terletak di seluruh UK, menyediakan kepelbagaian dan lindung nilai semula jadi untuk risiko pendapatan turbin angin tempatan.

Portfolio ini disokong oleh mekanisme sokongan boleh diperbaharui FiT yang disokong kerajaan UK selama 20 tahun dan menawarkan pulangan kewangan yang menarik dengan pendapatan sudah boleh diraih dari tahun pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 4:13 AM