MOHAMED Hassan Kamil
HM Digital

Kuala Lumpur : Takaful Malaysia Bhd memeterai kerjasama dengan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Bank Islam untuk memperkenalkan produk takaful dalam talian kepada pendeposit TH serta pelanggan Bank Islam.

Kerjasama berkenaan dijalin sempena pelancaran portal jualan dalam talian, Click for Cover yang menawarkan produk insurans secara digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, pihaknya memberikan komitmen tinggi dalam merevolusikan perniagaan dan operasi secara digital.

“Dengan memanfaatkan teknologi digital dalam menawarkan kepelbagaian produk dan perkhidmatan, kami mampu menembusi segmen pelanggan baru menerusi produk perlindungan yang dipertingkat, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih baik.

“Pelanggan juga akan mendapat manfaat daripada pengalaman integrasi pelbagai saluran ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran di sini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Majlis turut menyaksikan majlis memeterai perjanjian kerjasama antara Takaful Malaysia dengan peneraju pasaran dalam teknologi data, analitik dan kepintaran buatan (AI), Fusionex International dan pakar pemasaran digital, ReMark International.

Portal Click for Cover direka dengan paparan mesra pelanggan untuk mengakses produk dalam talian syarikat dengan kemudahan e-pembayaran.

Ketika ini, portal menawarkan produk motor, kemalangan peribadi (PA) dan perubatan serta lebih banyak lagi produk seperti Takaful Term Life, Penyakit Kritikal dan Travel PA akan disediakan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 8:39 AM