PENGACARA CJ WOW SHOP pada majlis pembentangan kandungan baru di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: CJ WOW SHOP, destinasi membeli-belah pintar sehenti menyasarkan pertumbuhan jualan lebih kukuh sebanyak RM200 juta menjelang akhir tahun ini, berbanding RM130 juta direkodkan tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kim Yang Hyun berkata, ia didorong penawaran pelbagai produk termasuk kelengkapan rumah, barangan elektrik, produk kecantikan dan fesyen.

Katanya, sejak dilancarkan pada 2016, CJ WOW SHOP menambah produknya daripada 27 kepada 450 dan merekodkan lebih 650,000 pelanggan.

“Kami teliti dalam memilih produk dan hanya yang benar-benar berkualiti dan terbaik ditawarkan kepada pelanggan CJ WOW SHOP,” katanya pada majlis ‘2 Tahun, Lebih WOW!’ di sini, semalam.

Pada majlis itu, selebriti Yana Samsudin dilantik sebagai duta ‘2 Tahun, Lebih WOW!’ selepas mencipta rekod menjual lebih 200 unit Athira Pendant Habib Jewel dalam tempoh 22 minit.

Sempena sambutan ulang tahunnya, orang ramai berpeluang menyertai karnival beli-belah menerusi saluran CJ WOW SHOP termasuk televisyen, dalam talian dan aplikasi mudah alih selama sebulan mulai 1 April.

Bagi setiap pembelian, pelanggan akan menerima beg WOW, beg mesra alam edisi terhad percuma yang direka khas oleh Yana Samsudin.

Mengulas lanjut, Kim berkata, pencapaian tahun lalu yang memberangsangkan meningkatkan keyakinannya untuk berkembang bersama rakan niaga dalam menyediakan produk hebat.

Katanya, pada masa ini, 70 peratus daripada produk yang dijual adalah jenama tempatan termasuk Mugen, Riino, Elba, Habib Jewel dan Ariani.

“Kerjasama dengan syarikat kecil dan sederhana sentiasa menjadi keutamaan kerana CJ WOW SHOP adalah platform pemasaran menyeluruh untuk membantu perniagaan mencapai potensi pasaran yang luas.

“Akan datang, kami akan meningkatkan khidmat pelanggan serta pengalaman membeli-belah secara keseluruhan bagi menyokong strategi pertumbuhan syarikat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 1:39 AM