GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suffian A Bakar


MAXIS Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai RM510 juta pada suku pertama 2018, didorong oleh perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang kukuh.

EBITDA dicatatkan pada suku dikaji terus stabil pada RM1.02 bilion berbanding RM1.024 bilion tahun lalu.

Margin EBITDA tinggi pada 51.5 peratus berbanding 49.3 peratus tahun lalu, mencerminkan hasil positif daripada inisiatif pengoptimuman kos.

Bagaimanapun, hasil perkhidmatan susut sedikit kepada RM1.98 bilion berbanding RM2.076 bilion tahun lalu, disebabkan persaingan sengit terutama dalam pasaran prabayar.

Hasil pasca bayar meningkat 5.2 peratus kepada RM985 juta pada suku dikaji berbanding RM936 juta tahun lalu, dengan mencatatkan pendaftaran talian tambahan tertinggi dan peningkatan purata hasil setiap akaun (ARPA) melalui tawaran mudah alih dan tetap.

Ini disokong oleh purata hasil setiap pengguna (ARPU) pasca bayar bulanan yang tinggi sebanyak RM92 dan Pelan MaxisONE (MOP) yang terus menarik pelanggan bernilai tinggi.

MOP mencatatkan penambahan baru sebanyak 283,000 tahun ke tahun, menjadikan jumlah pelanggan sebanyak dua juta.

Hasil prabayar pula susut kepada RM849 juta berbanding RM1.006 bilion tahun lalu disebabkan oleh asas langganan lebih rendah.

Ini didorong oleh persaingan harga yang agresif, penyatuan SIM berterusan dan perpindahan ke pasca bayar.

Maxis terus mengekalkan penembusan Internet Mudah Alih (Mobile Internet - MI) tinggi sebanyak 73 peratus, yang menyokong ARPU prabayar tinggi sebanyak RM41 sebulan.

Berikutan prestasi itu, Maxis mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak lima sen sesaham.

Mengulas prestasi syarikat, Ketua Pegawai Eksekutif Robert Nason berkata, Maxis merekodkan suku yang stabil dengan EBITDA yang kukuh dan margin EBITDA yang tinggi dalam pasaran yang amat kompetitif.

“Fokus kami adalah untuk terus menyediakan produk yang menarik, sambungan rangkaian yang hebat dan pengalaman tanpa berasa bimbang kepada pelanggan kami.

“Semua ini akan bertambah baik seiring dengan cita-cita kami untuk mendigitalkan Maxis sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 9:51 PM