Loo (kanan, duduk) bertukar dokumen dengan Gaurav di Kuala Lumpur, semalam.
Sofyan Rizal Ishak

Petaling Jaya: Loob Holding Sdn Bhd (Loob Holding), pengasas jenama minuman teh Tealive menyasarkan membuka 140 cawangan di India membabitkan tiga bandar iaitu New Delhi, Mumbai dan Bangalore dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo berkata, perancangan itu bakal dilaksanakan melalui pelantikan World Iconic Brands Hospitality Pvt Ltd (WIB) sebagai pemegang francais induk bagi jenama itu di pasaran negara terbabit.

“Untuk tahun pertama operasi di India, kami menyasarkan membuka 15 cawangan dengan cawangan pertama dibuka Ogos ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian francais induk antara Loob Holding dan WIB di sini, semalam.

WIB adalah syarikat pembangunan francais khusus di India dan dimiliki secara majoriti oleh Franchise India iaitu syarikat khidmat francais bersepadu terbesar di Asia.

Beliau berkata, India menawarkan potensi besar kepada syarikat kerana ia adalah negara pencinta teh dan kerjasama dengan WIB memastikan Tealive menjadi jenama bubble tea pertama Malaysia yang memasuki pasaran India.

“Kami memilih rakan kerjasama terbaik iaitu WIB yang dimiliki Franchise India yang mempunyai rekod lebih dua dekad dalam perniagaan,” katanya.

Pengasas WIB, Gaurav Marya berkata, jumlah pengeluaran teh di India pada tahun lalu adalah 1.27 tan dan ia meningkat kepada 1.28 tan pada tahun lalu.

“Kami percaya Tealive memiliki potensi besar di India kerana teh tidak asing bagi rakyat India dan jenama ini ideal untuk memperkenalkan budaya teh moden di India yang mana minat terhadap teh menjadi tradisi zaman-berzaman,” katanya.

Loo berkata, India adalah pasaran luar negara kedua yang diterokai jenama Tealive selepas Vietnam di mana ia kini memiliki lima cawangan dan syarikat menyasarkan untuk membuka 25 cawangan lagi di negara itu menjelang hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 10:18 AM