KADAR sifar GST boleh membantu meningkatkan sentimen membeli dalam kalangan pengguna.
Nurhayati Abllah dan Farah Adilla

Kuala Lumpur: Penurunan harga barangan mungkin berlaku dalam tempoh lebih enam bulan, namun ia bergantung kepada faktor lain yang mempengaruhi harga.

Ia termasuk kos barang mentah, kos pengilangan, logistik dan pengangkutan.

Pengarah Projek Khas Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Dr Aimi Zulhazmi Mohd Rashid berpendapat harga barangan mungkin tidak akan turun mendadak.

“Saya berpendapat, sifar GST tidak menjadikan harga barang turun mendadak dalam satu ke tiga bulan ini kerana kebanyakan peniaga memfaktorkan GST dalam struktur harga barangan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya sebarang mekanisme cukai baru yang digunakan kerajaan selepas ini perlu dipastikan tidak berlaku sebarang kebocoran dan dilaksanakan lebih bijak serta efektif.

“Saya juga yakin jika cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikutip secara efektif dan berkesan serta tidak menyusahkan pengguna, ia menjadi alternatif lebih baik kepada negara,” katanya.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar sifar GST boleh membantu meningkatkan sentimen membeli dalam kalangan pengguna kerana kebanyakan penganalisis menjangkakan harga produk dan perkhidmatan turun mulai 1 Jun ini.

“Bagaimanapun, langkah penguatkuasaan perlu berterusan dan lebih tegas terutama dari segi pemantauan harga bagi mengelak peniaga mengaut keuntungan daripada keadaan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 9:45 AM