Nasuha Badrul Huzaini

Kuala Lumpur: Kuala Lumpur menjadi bandar keempat yang paling murah untuk pembinaan di Asia berdasarkan laporan Kos Pembinaan Antarabangsa 2018 yang diterbitkan Arcadis.

Laporan berkenaan memberikan maklumat lanjut dan menarafkan kos berkaitan pembinaan di 50 bandar utama di seluruh dunia.

Ketua Negara (Malaysia) Arcadis Asia, Justin Teoh berkata, selaras dengan pembaharuan dalam era politik di negara ini, pihaknya menggalakkan kerajaan untuk memberi pertimbangan kepada aspek digitalisasi.

“Pertimbangkan bagaimana ia boleh melonjakkan ekonomi dengan meningkatkan produktiviti dalam sektor pembinaan yang kekal menjadi satu sektor yang paling tidak mengalami proses digitalisasi.

“Bergerak ke hadapan, kami menggesa industri untuk menerima kemajuan teknologi bagi memastikan kita boleh berada pada tahap yang sama dengan peserta industri di rantau lain,” katanya.

Menurut firma Rundingan dan Rekaan global itu, Hong Kong menjadi bandar paling mahal untuk dibina di Asia, diikuti Macau dan Singapura.

Secara keseluruhannya, San Francisco, New York dan Hong Kong menjadi tiga bandar utama yang paling mahal dibina di dunia.

Metodologi laporan berkenaan adalah berdasarkan tinjauan kos pembinaan yang dilakukan oleh Arcadis membabitkan 13 jenis bangunan.

Kos adalah diwakili spesifikasi tempatan yang digunakan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Pada tahun lalu, berdasarkan laporan yang sama, Kuala Lumpur berada di tempat kedua paling murah dari segi kos pembinaan di dunia.

Laporan itu turut menyebut, berikutan prestasi kukuh lebih daripada jangkaan pada tahun 2017, negara di seluruh dunia akan menghadapi peningkatan dan prestasi ekonomi kukuh ini akan memacu permintaan bagi pembinaan.

“Ia termasuklah projek One Belt, One Road oleh China yang menyumbang secara signifikan kepada permintaan pembinaan global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 2:48 AM