RANCANGAN pengembangan lapangan terbang berjalan lancar selaras inisiatif strategik MAHB tahun ini.
RANCANGAN pengembangan lapangan terbang berjalan lancar selaras inisiatif strategik MAHB tahun ini.

Sepang: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mengumumkan pelantikan pengarah urusan tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, akan ada proses pengambilan dan penyenaraian singkat sebelum pihaknya membentangkan calon disenarai pendek kepada Kementerian Kewangan.

“Kami akan mengumumkannya (pelantikan) dalam masa terdekat. Proses pemilihan boleh menjadi lebih pendek atau lebih lama. Buat masa ini, kita perlu mendapat pengesahan tepat,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Raja Azmi berkata, masih terlalu awal untuk mendapatkan pengganti bagi jawatan berkenaan memandangkan kontrak pengarah urusan sebelum ini tamat pada 22 Jun lalu.

Bekas Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali memegang jawatan itu sejak 23 Jun 2014 menggantikan Tan Sri Bashir Ahmad yang berada di kedudukan berkenaan lebih sedekad.

Selain perubahan di peringkat pengurusan, Raja Azmi berkata, operasi perniagaan MAHB berjalan seperti biasa namun padamasa sama menekankan inisiatif strategik untuk pengembangan operasi lapangan terbang dan pembangunan Aeropolis.

“Kami akan menilai pelaburan sewajarnya berdasarkan pulangan dan daya maju komersial untuk syarikat,” katanya.

Menurutnya, pengendali lapangan terbang berupaya memastikan operasinya memenuhi standard kualiti perkhidmatan dalam tempoh suku ketiga tahun ini.

“Kemudahan tertentu akan diakses secara berperingkat dari tahun ini hingga tahun depan terutama membabitkan sistem bagasi dan kereta api.

“Kami melihat perkara ini secara berterusan untuk kemampanan dan kesinambungan kecekapan operasi lapangan terbang,” katanya.

Beliau berkata, MAHB hanya memulakan pengembangan lapangan terbangnya di terminal utama sebaik saja keupayaan KLIA dan terminal klia2 melebihi 75 juta penumpang.

Menurutnya, syarikat mengoptimumkan operasi di kaunter daftar masuk untuk menampung lebih ramai penumpang di samping mendigitalkan lapangan terbang bagi perjalanan tanpa batasan dan lebih baik.

“Setakat ini, gabungan KLIA dan klia2 memiliki kapasiti sehingga 75 juta penumpang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 2:49 AM