PEKERJA MRL di tapak projek ECRL di Tunjong. FOTO Syamsi Suhaimi
PEKERJA MRL di tapak projek ECRL di Tunjong. FOTO Syamsi Suhaimi


SEMUA kerja membabitkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) digantung berkuat kuasa serta merta.

China Communications Construction Ltd (CCCC), kontraktor utama projek mega itu berkata, ia sudah menerima notis untuk menggantung semua kerja projek ECRL daripada pemilik syarikat berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

“Adalah dikesali kerana penggantungan berlaku di tahap ini, memandangkan kerja utama telah berjalan dengan baik,” kata firma berpangkalan di China itu.

Kenyataan itu berkata, ECRL adalah projek penting Malaysia yang akan memberikan manfaat kepada rakyat dan mewujudkan pembangunan ekonomi di sepanjang laluan.

Katanya, CCCC diberikan amanah untuk mengendalikan projek itu sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bagi membantu pembinaan infrastruktur di negara ini.

“Kontrak ini dimeterai oleh CCCC dan MRL melalui proses undang-undang. Kami berharap MRL menghormati kontrak yang ditandatangani,” katanya.

Bagaimanapun, CCCC berkata, ia menghormati dan mematuhi undang-undang negara ini dan tidak mempunyai pilihan lain selain mematuhi arahan penggantungan.

“Walaupun tempoh penggantungan itu tidak dinyatakan, kami mengambil maklum mengenai kos tambahan, kerugian dan ganti rugi yang timbul daripada penggantungan itu. Kami kecewa dan bimbang mengenai nasib 2,250 kakitangan tempatan, serta beratus subkontraktor, pembekal dan firma perundingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 9:04 PM