Darell (dua dari kiri) pada program Tech Tarik Talk bersama Menteri MITI, semalam.
Mohd Zaky Zainuddin


Petaling Jaya: Sebarang keputusan membabitkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak akan menjejaskan hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia-China.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Darell Leiking berkata, Malaysia masih menjadi rakan dagangan China meskipun kerajaan mengumumkan untuk mengkaji semula projek pengangkutan berasaskan rel yang dimajukan China Communications Construction Ltd (CCCC), kontraktor utama projek mega itu.

“Kita masih kekal menjadi hab utama dalam perdagangan dengan China. Malah nilai eksport produk kita ke Tanah Besar juga sangat signifikan. Kita jangka penggantungan projek ECRL tidak akan memberi impak kepada hubungan dagang Malaysia-China.

“Saya juga difahamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan ke China tidak lama lagi. Ia sesuatu yang bagus untuk mengukuhkan hubungan dengan ekonomi terbesar dunia itu,” katanya kepada media selepas tampil sebagai ahli panel dalam program Tech Tarik Talk bersama Menteri MITI di sini, semalam.

Kelmarin, CCCC dalam satu kenyataan menjelaskan, ia menerima notis untuk menggantung semua kerja projek ECRL daripada pemilik syarikat berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Menurut syarikat itu, ECRL adalah projek penting Malaysia yang memberikan manfaat kepada rakyat dan mewujudkan pembangunan ekonomi di sepanjang laluan.

Katanya, CCCC diberikan amanah mengendalikan projek itu sebagai kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bagi membantu pembinaan infrastruktur di negara ini.

Bisnes NSTP turut melaporkan, jurucakap MRL berkata, arahan itu termasuk semua kerja berkaitan kejuruteraan, perolehan dan pembiayaan.

Arahan itu susulan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa kos sebenar projek ECRL sepanjang 688.3 kilometer (km) membabitkan perbelanjaan RM81 bilion dan ia perlu dikurangkan secara signifikan supaya berdaya maju dari segi kewangan.

Mengenai perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, Darell berkata, ia membuka peluang kepada Malaysia untuk mengukuhkan kerjasama dengan China dalam meneroka potensi pasaran global.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan China bagi melihat bagaimana kita dapat meneroka peluang yang tercetus hasil perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 12:19 PM