RYU (tiga dari kiri) bersama Muto (dua dari kiri) dan Watanabe (empat dari kiri) pada pameran Panasonic di Acara Penyejukan, Pengudaraan dan Penyaman Udara Asia Tenggara 2018, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Panasonic Corporation merancang untuk memperluaskan kehadiran segmen penyaman udara kepada penyelesaian komersial dan menjadi sebahagian daripada perniagaan strategiknya di rantau Asia.

Pengarah Urusan Panasonic Asia Pasifik, Takehiko Ryu berkata, usaha itu juga adalah antara inisiatif dalam mengekalkan matlamatnya untuk menjadi jenama premium terkemuka dunia.

Beliau berkata, bagi memenuhi keperluan pelanggan, Panasonic sentiasa mengamalkan konsep Kehidupan Lebih Baik, Dunia Lebih Baik serta berterusan membangunkan teknologi masa depan.

“Untuk 100 tahun akan datang, kami mahu menjadi jenama premium di peringkat global dan mengekalkan kecemerlangan yang dicapai.

“Malah, dengan menumpukan kepada pasaran rantau Asia, kami juga berharap segmen penyaman udara mampu menjadi cabang strategik kepada syarikat,” katanya ketika berucap pada pameran Panasonic di Acara Penyejukan, Pengudaraan dan Penyaman Udara Asia Tenggara (REVAC) 2018 di sini, semalam.

Panasonic mengambil bahagian dalam REVAC 2018 yang menghimpunkan pakar dan profesional industri dalam bidang berkenaan dari seluruh dunia yang juga terdiri daripada pengeluar, pemaju dan pakar lain.

Penyertaan itu juga adalah antara inisiatif dari sambutan ulang tahun ke-100 Panasonic Corporation dan ke-60 bagi pengeluaran produk penyaman udaranya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Hiroyuki Muto dan Pengarah Urusan Panasonic Appliances Air-Conditioning System Engineering Malaysia (PAPASEMY), Toshi Watanabe.

Dalam sesi lawatan pada pameran itu, wakil media diberikan taklimat mengenai rangkaian produk penyaman udara bersesuaian bagi ruang kediaman, komersial, pejabat dan hotel.

Ryu berkata, Panasonic begitu komited bagi memastikan mutu udara dalam bangunan yang lebih baik melalui inisiatif global iaitu ‘Udara Berkualiti Untuk Kehidupan (QAFL)’.

Menurutnya, QAFL bertujuan untuk memanfaatkan teknologi penyaman udara dan pengudaraan Panasonic bagi memberikan udara yang bersih melalui kawalan suhu, kawalan kelembapan dan pembersih udara.

“Penyaman udara kami juga dilengkapi dengan teknologi Nanoe yang juga berkesan menghilangkan bau yang kuat dan menghilangkan zarah debu bagi menghasilkan suasana dan ruang yang lebih selesa,” katanya.

Selain itu, Panasonic dijangka melancarkan aplikasi Panasonic Comfort Cloud pada hujung tahun ini yang direka khusus bagi perniagaan dan kediaman yang mana ia boleh disambungkan kepada 200 unit penyaman udara dari hanya satu peranti mudah alih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 10:12 AM