MEGAT Zaharuddin Megat Mohd Nor
Alzahrin Alias


KERAJAAN melantik Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu berkuat kuasa 27 Julai 2018.

FELDA dalam satu kenyataan berkata, Megat Zaharuddin mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dengan pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Malayan Banking Bhd (Maybank) selama lebih tujuh tahun.

Katanya, selain memiliki pengalaman luas dalam sektor minyak dan gas selama 31 tahun, beliau juga pernah menjadi Pengerusi Maxis Communications Bhd dan berkhidmat dengan Etiqa Insurance & Takaful, Lembaga Getah Malaysia, Maybank Investment Bank Bhd serta Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan di Kementerian Pendidikan.

Selain Megat Zaharuddin, FELDA turut melantik tujuh ahli Lembaga Pengarah baharu (tidak termasuk Pengerusi) yang terdiri daripada tokoh profesional berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

FELDA ditubuhkan pada 1 Julai 1956 mengikut Ordinan Kemajuan Tanah 1956 bagi pembangunan tanah dan penempatan semula dengan objektif pembasmian kemiskinan melalui penanaman tanaman minyak sawit dan getah.

Antara fungsi FELDA adalah untuk melaksanakan projek-projek pembangunan tanah dan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi.

Senarai Pengerusi FELDA

Tan Sri Shahrir Abdul Samad

Mula Berkhidmat: 01.01.2017

Tan Sri Isa Samad

Mula Berkhidmat: 01.01.2011

Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor

Mula Berkhidmat: 01.07.2001

YM Raja Tan Sri Muhamad Alias

Mula Berkhidmat: 01.05.1979

Datuk Harun Arifin

Mula Berkhidmat: 01.01.1973

Tun Musa Hitam

Mula Berkhidmat: 01.09.1971

Tan Sri Taib Andak

Mula Berkhidmat: 14.10.1958

D.E.M Fiennes

Mula Berkhidmat: 01.08.1956

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 7:23 PM