DR Mohd Hatta (empat dari kiri) bersama Peng (empat dari kanan) merasmikan SMEX 2018 dan China Machinery Intelligent Manufacturing Brand Show (Malaysia) di Malaysia International Trade & Exhibition Center (MITEC).
DR Mohd Hatta (empat dari kiri) bersama Peng (empat dari kanan) merasmikan SMEX 2018 dan China Machinery Intelligent Manufacturing Brand Show (Malaysia) di Malaysia International Trade & Exhibition Center (MITEC).
Alzahrin Alias

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih ketinggalan dalam berhadapan dengan perubahan pesat yang dipacu inovasi teknologi terutama mencapai standard Industri 4.0.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, PKS perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan menyeluruh mengenai Industri 4.0 dan mengejar beberapa negara seperti China yang kehadapan dalam penggunaan automasi dan teknologi maju.

“Kena bersedia berhadapan dengan Industri 4.0 dan mengejar China yang sudah jauh ke hadapan dalam perkara ini namun masih belum terlalu lambat untuk dikejar.

“Ini kerana kementerian sentiasa bersedia dan menyokong PKS dalam penggunaan teknologi maju untuk perniagaan mereka.

“Kita juga mempunyai inovasi serta penyelidikan dan pembangunan yang hebat dan boleh digunakan untuk menghadapi Industri 4.0,” katanya selepas melancarkan pameran Smart Manufacturing 2018 (SMEX 2018) anjuran Kementerian Perdagangan China di sini, semalam.

SMEX 2018 menghimpunkan 100 syarikat dari China dan 44 syarikat dari Malaysia yang terbabit dalam enam sektor seperti tenaga, jentera, industri automasi, komponen dan logistik.

Pameran empat hari bermula 15 hingga 18 Ogos ini juga menyasarkan dapat menarik minat usahawan tempatan dalam menjalankan kerjasama dengan syarikat dari China.

Dr Mohd Hatta berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan China berkembang pesat dan China menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia selama lapan tahun berturut-turut dengan jumlah perdagangan dua hala hampir AS$100 billion.

“Perdagangan antara Malaysia dan China tidak dapat berkembang tanpa kerjasama antara usahawan kedua-dua negara.

“Malah, lokasi Malaysia di tengah ASEAN meletakkannya sebagai lokasi strategik sebagai hab perdagangan China dengan negara jiran.

“Ia boleh dijadikan plat-
form penggalak dan pembuka jalan kerjasama perniagaan. Kementerian sangat berbesar hati jika PKS tempatan dapat mengambil peluang sebegini dan usahawan China menjalankan pelaburan mereka di sini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Biro Pembangunan Perdagangan Kementerian Perdagangan China, He Peng berkata, China adalah destinasi eksport kedua terbesar Malaysia dan sumber terbesar importnya.

Peng berkata, sehingga April 2018, jumlah perdagangan antara Malaysia dan China meningkat 18.1 peratus kepada AS$24.34 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Ogos 2018 @ 10:28 AM