DARI kiri, Pengarah Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Datuk Cynthia Lim Mooi Pang, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, Hock San dan Pengarah Eksekutif LBS Bina Group Berhad Datuk Alan Chia Lok Yuen pada majlis pelancaran Rentak Perdana, fasa ke-3 rumah teres mampu milik yang dibina LBS Group Berhad di Galeri Jualan LBS Alam Perdana, Puncak Alam.
Nasuha Badrul Huzaini

Puncak Alam: Pemaju perbandaran, LBS Bina Group Bhd (LBS) optimis dapat mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.8 bilion menjelang 31 Disember depan.

Pengarah Urusannya Tan Sri Lim Hock San berkata, keyakinan itu dipacu oleh maklum balas positif yang diterima daripada projek pembangunan yang dijalankan pihaknya seperti di Bandar Saujana Putra, Puncak Alam dan juga Seri Kembangan.

Katanya, LBS juga akan melancarkan perbandaran baru pada September ini di Cybersouth dengan fasa pertama membabitkan pembinaan rumah kediaman teres dua tingkat dan juga rumah bandar.

“Projek berkenaan dijangka menyumbang kepada usaha kami untuk mencapai sasaran jualan yang dibuat.

“Sehingga kini, kami sudah berjaya mencatat jualan hartanah sebanyak RM1.06 bilion,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran fasa ketiga projek pembangunan LBS Alam Bina iaitu Rentak Perdana di sini.

Projek pembangunan Rentak Perdana dilancarkan selepas projek fasa pertama, rumah bandar Simfoni Perdana dan rumah teres dua tingkat, Irama Perdana.

Bagi projek Simfoni Perdana, ia mencatatkan kadar jualan sebanyak 88 peratus, manakala Irama Perdana pula habis dijual.

Hock San berkata, pasaran terus menunjukkan minat terhadap rumah bertanah yang mampu dimiliki.

“Justeru, kami yakin Rentak Perdana juga akan mendapat maklum balas yang baik daripada mereka yang mahu membeli rumah,” katanya.

Harga jualan bagi rumah teres di Rentak Perdana bermula daripada RM509,000, manakala harga rumah semi-D bermula daripada RM888,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 1:44 PM