KOS sara hidup masih jadi isu penting kepada rakyat.
KOS sara hidup masih jadi isu penting kepada rakyat.
Oleh Nurhayati Abllah dan Amir Hisyam Rasid

KUALA LUMPUR: Ketidaksamaan jurang kekayaan yang membimbangkan akan menyebabkan pertumbuhan lemah dalam perbelanjaan persendirian, memandangkan harga barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih mahal serta tidak mampu dimiliki.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, impak negatif daripada pembesaran jurang kekayaan termasuklah masalah kehilangan tenaga kerja kerana pekerja berkemahiran mahu mencari kerja berpendapatan lebih tinggi di tempat lain.

“Menangani isu berkaitan kos sara hidup amat mustahak kerana apa yang penting adalah pendapatan sebenar, iaitu pendapatan selepas diselaraskan dengan kadar inflasi.

“Dari segi itu, penguatkuasaan undang-undang sedia ada berkaitan anti pencatutan dan kawalan harga penting kerana kita perlu memastikan pengguna tidak menjadi mangsa syarikat tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan dijangka melaksanakan langkah segera dengan mengenal pasti golongan berpendapatan rendah terutama sejuta isi rumah bagi mengatasi jurang pendapatan ketara di Malaysia.

Katanya, golongan berkenaan perlu dibantu daripada segi usaha untuk meningkatkan pendapatan menerusi penawaran peluang pekerjaan yang sesuai, meningkatkan kemahiran dan juga peluang pendidikan.

“Selain itu, kos sara hidup mereka juga perlu dibantu dari segi bantuan sara hidup dan juga membimbing mereka untuk menjalankan gaya hidup yang tidak berasaskan hutang,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan jurang pendapatan berlaku antara T20 (kumpulan isi rumah berpendapatan 20 peratus tertinggi) dengan M40 dan B40 adalah sedia tinggi.

“Jadi sebarang peratusan peningkatan pendapatan T20 memberikan jumlah pendapatan secara relatif lebih tinggi berbanding golongan M40 dan B40,” katanya.

Bagi Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Dr Kamaruddin Mohd Nor pula, jurang antara golongan kaya dan miskin tidak membimbangkan.

“Ketidaksamaan kekayaan adalah fenomena global. Dalam jangka panjang dan jika situasi ini berterusan, kerajaan akan berdepan ketidakstabilan sosial dan politik.

“Kadar jenayah akan meningkat, khidmat kesihatan awam bertambah buruk, tahap pendidikan lebih rendah, sekali gus menjejaskan pertumbuhan jangka panjang negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 4:29 AM