NADIRA (kanan) bersama pengasas bersama Muhaini Mahmud menunjukkan aplikasi Kiddocare.
NADIRA (kanan) bersama pengasas bersama Muhaini Mahmud menunjukkan aplikasi Kiddocare.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kiddocare, aplikasi khidmat tempahan penjaga kanak-kanak komited melatih dan menggalakkan wanita menceburi kerjaya bidang penjagaan kanak-kanak di negara ini.

Pengasas Bersama Kiddocare, Nadira Yusof berkata, aplikasi Kiddocare menjadi pilihan kepada ibu bapa serta wanita bekerjaya yang ingin mendapatkan khidmat penjagaan kanak-kanak.

Katanya, ia membantu golongan wanita menjana pendapatan sebagai penjaga kanak-kanak dengan bayaran sekitar RM18 sejam.

“Untuk menjadi ahli atau penjaga kanak-kanak di bawah Kiddocare adalah mudah iaitu hanya perlu mendaftar bersama kami sebelum melalui beberapa ujian khusus.

“Antaranya saringan latar belakang, kesihatan dan ujian psikometrik supaya mereka benar-benar layak kerana khidmat ini perlu menitik beratkan segala aspek penting.

“Mereka perlu melalui program pentauliahan profesional yang digariskan Kiddocare dengan usaha sama badan penyelarasan berkaitan sebelum menawarkan perkhidmatan jagaan,” katanya di sini, baru-baru ini.

Setakat ini, Kiddocare mempunyai 800 penjaga kanak-kanak berdaftar dan sehingga kini, 190 berjaya menamatkan latihan khusus bagi penjagaan kanak-kanak.

Nadira berkata, dengan aplikasi ini, wanita tidak perlu risau untuk kembali bekerja atau memilih menceburi bidang keusahawanan kerana mereka boleh menempah penjaga kanak-kanak yang dipercayai di hujung jari.

“Ibu bapa boleh mendapatkan khidmat penjaga bagi bayi dan kanak-kanak berumur seawal tujuh bulan sehingga 12 tahun.

“Apa yang penting, ketika tempoh penjagaan kami akan memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat serta mengikut rutin harian biasa dilaluinya,” katanya.

Mengulas lanjut, Nadira berkata, setakat ini, perkhidmatan penjaga kanak-kanak itu hanya di sekitar Lembah Klang dan merancang meluaskannya ke lokasi lain.

“Menjelang hujung tahun ini, kami berharap dapat meneroka pasaran di Negeri Sembilan dan Melaka dengan keperluan sekitar 50 penjaga kanak-kanak setiap negeri.

“Seterusnya ialah Johor, Kedah dan Perak yang mendapat permintaan luar biasa menjadikan ia peluang terbaik untuk ditembusi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 9:28 AM