RAMAI pengguna menyimpan dahulu produk dalam troli beli-belah sebelum jualan bermula.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: iPrice Group, laman carian meta mendedahkan bahawa trafik atas talian didapati mencatatkan peningkatan 47 peratus sepanjang kempen Singles Day pada 11 November lalu (11.11) berbanding tempoh masa sama pada bulan sebelumnya.

Pemasar Kandungan Kanannya, Jeremy Chew berkata, analisis iPrice mendapati kebanyakan pengguna mula mencari dan meninjau tawaran menarik seawal jam 9 malam pada 10 November lalu iaitu sehari sebelum 11.11 berbanding 2017 yang turut menyaksikan pengguna hanya mula mencari tawaran pada 11 malam.

“Peningkatan minat dalam jualan ini banyak dipengaruhi melalui kempen agresif yang dilakukan pelbagai pemain e-dagang bagi mempromosikan jualan 11.11,” katanya pada kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, Analisis Mengenai Sikap Pengguna Pada Jualan 11.11 yang dilaksanakan iPrice itu turut mendedahkan kebanyakan pemain e-dagang menggalakkan pengguna untuk menyimpan produk dan kesukaan serta berurusan dengan troli beli-belah atas talian masing-masing sebelum jualan bermula.

“Langkah ini mempengaruhi mereka untuk membeli-belah secara atas talian lebih awal untuk mendapatkan pesanan mereka,” katanya.

Chew berkata, trafik atas talian berkembang pesat pada jam 12 pagi 11 November lalu sama seperti tahun sebelumnya di mana ia meningkat kepada 86 peratus menjelang tengah malam.

“Pertumbuhan besar trafik atas talian ini adalah bukti di mana pemain utama seperti Lazada, Shopee dan 11street mengalami isu dengan gerbang pembayaran masing-masing bermula daripada tengah malam ke atas,” katanya.

Beliau berkata, Jualan 11.11 kali ini menyaksikan trafik atas talian berkembang pesat pada 11 November lalu di mana situasi ini adalah berbeza daripada kajian iPrice Group melalui kajian State of E-Commerce yang mendapati trafik atas talian pada hujung minggu adalah rendah berbanding hari biasa.

“Pada waktu pagi ketika Jualan 11.11, pelanggan mula mencari tawaran menarik seawal jam 8 pagi dan selepas itu trafik atas talian jauh lebih tinggi sepanjang hari serta mencapai puncaknya pada jam 8 malam hari sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 9:09 AM