X
Hiroyuki Muto
Hiroyuki Muto
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Panasonic Malaysia Sdn Bhd (Panasonic Malaysia) optimis mencatatkan prestasi perniagaan lebih baik dengan sasaran peningkatan pertumbuhan antara empat hingga lima peratus tahun depan.

Timbalan Pengarah Urusannya, Hiroyuki Muto berkata, sasaran itu bakal dipacu melalui jangkaan ekonomi negara lebih stabil, sekali gus membantu merancakkan lagi aktiviti perniagaan ke perniagaan (B2B).

“Pada masa ini, negara turut terkesan dengan faktor luar termasuk isu perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China serta prestasi Ringgit yang lemah namun syarikat yakin pelaksanaan sistem ekonomi diperkenalkan kerajaan membantu memulihkan keadaan.

“Mereka kini memulakan langkah terperinci dengan memberi tumpuan terhadap soal ekonomi negara dan ia diharapkan mengembalikan potensi perniagaan dan menyokong industri keseluruhannya,” katanya selepas pameran Panasonic FutureTech 2018 di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar dan Ketua Negara Sistem Penyelesaiannya, Seelan Kandasamy.

Beliau berkata, Panasonic Malaysia juga menyasarkan peningkatan dalam penguasaan pasaran bagi kategori produk elektronik pengguna kepada 22 peratus pada tahun 2019 berbanding 20 peratus pada tahun ini.

Menurutnya, syarikat terus memberi fokus terhadap peningkatan pengalaman pelanggan melalui pelbagai tawaran produk yang ada nilai tarikan kepada pengguna termasuk dalam rangkaian kecantikan bagi mencapai sasaran terbabit.

“Kami juga memfokuskan kepada segmen penyaman udara dengan melaksanakan langkah strategik melalui pengeluaran produk ini, sekali gus menunjukkan komitmen kami dalam memastikan kualiti udara terbaik kepada pengguna.

“Syarikat sentiasa mengamalkan konsep kehidupan lebih baik dan justeru penekanan terhadap produk ini diberikan membabitkan aspek ventilasi, peranti kecekapan tenaga dan sokongan persekitaran kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 1:58 PM