APLIKASI ‘SnapNPay’ memudahkan pengguna menjelaskan bayaran menggunakan telefon mudah alih. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad memperkenalkan kaedah baru SnapNPay bagi memudahkan pengguna menyalurkan sumbangan ke Sadaqa House iaitu inisiatif Kewangan Sosial yang telah dilancarkan Bank Islam pada awal tahun ini.

SnapNpay adalah aplikasi mudah alih yang dibangunkan SnapNPay LLP bagi membolehkan orang ramai membuat bayaran menggunakan enjin FPX dengan mengguna pakai maklumat atau data yang disenaraikan oleh pelanggan (penerima) dalam mod kod QR atau kod Bar.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, ciri yang terbaik adalah sesiapa saja boleh membuat urus niaga ini.

“Ini kerana satu kod QR boleh menampung semua 17 bank FPX di Malaysia, lantas ia menghapuskan keperluan untuk menghasilkan pelbagai kod QR daripada bank individu dan bayaran adalah berdasarkan masa nyata.

“Kami telah menggabungkan teknologi dan penyelesaian syariah dalam menyampaikan perkhidmatan yang selari dengan aliran digital semasa.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada pelan digital Bank Islam dalam memastikan keselesaan, perkhidmatan yang berkesan dan berimpak tinggi dengan pelaksanaan yang mudah,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan, di sini.

Beliau berkata, perkhidmatan SnapNPay juga akan diperluaskan kepada platform iSadaqah untuk pelanggan atau orang ramai membuat sumbangan kepada masjid dan surau yang terbabit serta platform iPBT untuk pihak berkuasa tempatan agar pengguna boleh melakukan pembayaran seperti cukai tanah dan cukai pintu dengan mudah.

Bagi iPBT, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah menggunakan SnapNPay sebagai salah satu daripada medium pungutan bayaran mereka sejak Ogos 2018.

Individu yang ingin menyumbang ke arah kejayaan projek yang telah dikenal pasti ini boleh menyalurkan dana melalui aplikasi SnapNPay.

Sumbangan juga boleh dilakukan melalui www.globalsadaqah.com/sadaqahouse, Perbankan Internet Bank Islam atau pindahan dana IBG /IBFT dari akaun bank lain ke akaun Bank Islam Sadaqa House bernombor, 14014010188888.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 11:00 AM