GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Adam Arinin.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) yakin inisiatif pemerkasaan keusahawanan Bumiputera melalui Program LESTARI dapat dimanfaatkan sepenuhnya usahawan Bumiputera bagi sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) di Malaysia.

Program LESTARI adalah program kerjasama antara MED dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk memantapkan usaha pembangunan usahawan Bumiputera dalam kalangan syarikat vendor Petronas.

Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ia juga adalah kesinambungan komitmen berterusan Petronas dalam memperkasakan usahawan Bumiputera selain menjadi penanda aras kepada entiti perniagaan yang lain.

Program dengan kerjasama dua pihak itu juga akan menekankan lagi kepentingan kepada usahawan OGSE Bumiputera untuk memahami hala tuju industri dan mengenal pasti peluang baru yang bersesuaian dengan keupayaan mereka.

“Apa yang penting, mereka mampu membina serta meningkatkan daya tahan dalam berdepan dengan persekitaran industri yang semakin mencabar,” katanya pada Majlis Pelancaran Program LESTARI: Inisiatif Pemerkasaan Keusahawanan Bumiputera di sini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MED Wan Suraya Wan Mohd Radzi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Beliau berkata, dua fokus utama program ini adalah untuk mengukuhkan ekosistem minyak dan gas negara, terutama kepada vendor OGSE Bumiputera selain membina kemahiran keusahawanan.

“Kita juga mahu ia dapat melonjakkan lagi profil dan kecekapan mereka supaya berpeluang bagi menerokai pasaran baru dan menawarkan produk buatan Malaysia,” katanya.

Mohd Redzuan berkata, sehingga kini 21 syarikat peneraju dan 1,354 vendor terbabit dalam Program Pembangunan Vendor MED.

Menurutnya, sektor OGSE menyaksikan terdapat tiga syarikat peneraju iaitu Petronas, Uzma Engineering dan Serba Dinamik.

“Keseluruhan jumlah vendor bagi sektor ini adalah 33 vendor dan dari jumlah itu, 24 vendor bernaung di bawah syarikat minyak dan gas negara,” katanya.

Selain itu, MED akan membangunkan ekosistem bersepadu untuk syarikat vendor tempatan melalui Program Reach Out and Adopt (ROAD) bagi melatih usahawan berpotensi pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 11:00 AM